Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Bola sepak dunia berkabung tragedi Chapecoense
Diterbitkan:  Nov 30, 2016 11:45 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Tragedi pesawat yang membawa rombongan kelab bola sepak Chapecoense yang terhempas di pergunungan Colombia, semalam mendapat simpati bola sepak dunia yang turut berkabung susulan insiden mengorbankan 71 penumpang itu.

Legenda bola sepak Brazil, Pele dan Maradona dari Argentina termasuk bintang Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo mengetuai ucapan takziah kepada kelab Chapecoense Real, sebuah kelab yang sedang mencipta nama di Amerika Selatan.

Ketika kejadian, pasukan berkenaan sedang dalam penerbangan untuk menyertai aksi final merebut Piala Copa Sudamericana, pertandingan peringkat kelab kedua terbesar di benua tersebut.

"Kesakitan ini amat dirasai. Kita baru saja mahu berjaya, saya tidak katakan kita teratas namun ke arah mencipta nama di peringkat kebangsaan, tragedi seperti ini pula menimpa," kata naib presiden kelab itu, Ivan Tozzo.

"Ia amat sukar, ia tragedi yang besar buat kami," katanya seperti dilaporkan AFP.

Pesawat yang disewa itu dikendalikan syarikat Bolovia, LAMIA, berlepas dari Santa Cruz, Bolovia sebelum mengumumkan kecemasan kira-kira jam 10 malam waktu tempatan.

Ia dilaporkan akibat kerosakan elektrik dan terhempas sebaik menghampiri bandar Medellin, kata pegawai penerbangan.

Sementara itu, sebagai salah satu calon perlawanan akhir kejohanan tersebut yang sepatutnya dijadualkan bertemu Chapecoense - Atletico Nacional meminta Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol) memberikan kejuaraan kepada kelab dari Brazil itu.

Kejadian yang menimpa Chapecoense itu turut menyentuh simpati Atletico Nacional sekali gus mendedikasikan gelaran juara Piala Copa Sudamericana buat Chapecoense.

"Kami ingin mengumumkan Atletico Nacional meminta Conmebol untuk memberikan gelaran Copa Sudamericana kepada Chapecoense sebagai satu penghormatan dan penghargaan kepada korban kemalangan.

"Kami turut berdukacita," kata kenayataan rasmi Atletico Nacional.

Pihak berkuasa penerbangan awam Colombia pada awalnya dilaporkan, seramai 75 terbunuh sebelum disahkan empat dalam senarai penumpang sebenarnya tidak menaiki pesawat.

Mereka terdiri daripada seorang pegawai kelab bola sepak berkenaan, seorang wartawan, datuk bandar kelab berkenaan dan seorang ahli majlis perbandaran.

Presiden Colombia, Juan Manuel Santos menyifatkan nahas berkenaan sebagai 'tragedi yang menyayat hati' manakala Presiden Brazil, Michel Temer mengisytiharkan tiga hari tempoh berkabung.

Lihat Komen
ADS