Nama besar bola sepak dan bekas pemenang anugerah Ballon d'Or nampaknya bukanlah pencabar utama untuk pemain Pulau Pinang Faiz Subri merangkul anugerah Anugerah Puskas Fifa 2016.
Sebaliknya kata bekas jurulatih skuad Harimau Kumbang, Jacksen Ferreira Tiago, pemain Atletico Madrid, Saul Niguez, adalah calon yang mungkin menggugat peluang Faiz.
Ketika mengulas mengenai perbandingan gol Faiz dan sembilan calon lain, Tiago berkata, jaringan pemain sayap itu sangat luar biasa lebih-lebih lagi ia dilakukan seorang pemain dari Malaysia.
"Pesaing terdekat jaringan Faiz ialah gol dilakukan Saul Niguez iaitu pemain dari Sepanyol.
"Kita perlu lihat bagaimana teknik sepakan dilakukan Faiz, ia sukar dilakukan oleh pemain hebat seperti Lionel Messi atau Neymar sekali pun.
"Tetapi gol itu dilakukan pemain dari Malaysia, ia sesuatu yang luar biasa," katanya kepada Malaysiakini Sukan.
Pada 16 Februari lalu, Faiz membuat kejutan melalui tendangan unik yang menghasilkan gol ketika membantu pasukannya menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super 2016.
Aksi di Stadium Bandaraya di George Town Pulau Pinang itu, pemain 29 tahun itu mengambil sepakan percuma tersebut pada minit ke-62 di posisi kiri luar petak penalti lawan.
Awalnya, bola sepakannya kelihatan melayang ke arah kanan gawang Pahang dan penjaga gol kelihatan bersedia untuk membuat tampanan.
Bagaimanapun ketika bola masih agak tinggi di udara bola itu tiba-tiba bertukar haluan ke kiri pintu gol dan menerjah gawang.
Sementara itu, menjelang empat hari sebelum proses pengundian bagi memilih penerima anugerah tersebut ditutup sepakan Faiz melalui teknik 'knuckleball' ditonton lebih 1.22 juta pelayar laman YouTube Fifa TV.
Video sepakan dilakukan Niguez pula ditonton lebih 500,000 penonton di mana aksinya liciknya menggelecek empat pemain lawan sebelum melakukan sepakan lencong arah kanan gawang.
Untuk rekod Messi adalah pemenang anugerah pemain terbaik Fifa pada 2010, 2011, 2012 dan 2015 tetapi Neymar belum pernah menjulang trofi berkenaan.
Namun Neymar pernah terpilih memenangi anugerah Puskas pada 2011 ketika masih bersama kelab Santos.
