Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Sebulan sebelum terbang ke Zurich untuk Anugerah Puskas Fifa 2016, tumpuan Mohd Faiz Subri tidak terjejas.

Calon akhir Anugerah Puskas Fifa 2016 itu tetap memberi tumpuan terhadap latihan bersama skuad Harimau Kumbang menjelang cabaran Liga Malaysia musim depan.

Dihubungi Malaysiakini Sukan, penjaring gol 'luar biasa' 29 tahun itu masih menunggu reaksi balas FAM dan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) sebelum membuat persiapan rapi ke anugerah itu.

"Saya tak letakkan apa-apa harapan besar setakat ini dan berserah apa juga keputusan nanti," katanya.

Anak kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu menyifatkan saingannya untuk berdiri di pentas antarabangsa pasti sengit walaupun pemain bintang seperti Lionel Messi dan Neymar telah terkeluar saingan.

"Calon akhir hanya tiga pemain, kemungkinan besar mereka juga akan mendapat sokongan daripada rakyat negara masing-masing.

"Apa yang penting saya berharap seluruh rakyat Malaysia dan dunia terus mengundi saya sekali lagi," katanya.

Faiz akan dicabar dengan dua lagi calon iaitu Marlone dari Brazil dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Tegas Faiz, berada dalam kalangan tiga terbaik untuk anugerah itu sudah menjadi satu kebanggaan.

"Jadi saya tidak letakkan harapan besar untuk menjulang trofi, dicalonkan ke peringkat akhir sudah satu bonus.

Mahu perkenal Malaysia

Sementara itu, Faiz ada impian tersendiri yang diharap dapat dilakukan ketika menghadiri majlis anugerah Puskas pada 9 Januari nanti.

Jika dibenarkan katanya, sebagai rakyat Malaysia pertama dicalon anugerah itu, dia mahu memperkenalkan Malaysia dengan memakai baju Melayu.

"Sehingga hari ini saya belum menerima sebarang maklumat mengenai apa yang perlu disediakan sebelum pergi ke sana (Zurich) jadi saya belum buat sebarang persediaan.

"Semestinya saya mahu membawa semua keluarga saya kerana ini merupakan peluang yang mungkin datang sekali dalam seumur hidup kita. Alhamdullilah...Ini salah satu rezeki Allah kepada saya.

"Jika anugerah Puskas menjadi milik saya nanti, kalau boleh saya mahu memberi ucapan dalam bahasa Melayu," katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Tambah bapa kedua dua cahaya mata itu, dia lebih bangga untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan.

“Tiada istilah malu untuk bertutur bahasa ibunda kerana saya rakyat Malaysia.

"Kalau kita tidak bangga dengan bahasa kita siapa lagi? Seperti saya cakap sebelum ini, kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang tapi kejayaan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS