"Orang gagal mesti bersedia dihina..walaupun orang gagal mungkin orang yang pernah berjaya dan tidak mustahil orang gagal kembali menjadi orang berjaya".
Demikian luahan kata-kata bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa di laman Facebooknya hari ini.
Annuar dipercayai merujuk kritikan Tengku Mahkota Johor, Tuanku Ismail Sultan Ibrahim yang menyatakan baginda tidak akan mengambil nasihat daripada orang yang gagal.
"Sementara orang berjaya perlu buat persiapan tatkala kejayaan berganti dengan kegagalan nanti," tulis Annuar yang turut memuat naik gambar bersama Tunku Ismail pada posting berkenaan.
Dalam catatan Facebook terdahulu Annuar berkata seseorang masih boleh belajar daripada individu yang pernah mengalami kegagalan.
"Dari orang yang berjaya ada sesuatu yang boleh dipelajari...Dan dari orang yang gagal juga mungkin banyak yang boleh dimanfaati. Yang penting dalam hidup ini biarlah bersederhana dan sedia dinasihati dan menasihati asal nasihat itu jujur dan baik.
"Namun ada kalanya diam itu lebih baik dari berkata-kata," katanya.
Semalam, Tunku Ismail berkata beliau tidak akan menerima nasihat daripada 'pemimpin yang gagal'.
Beliau merujuk kenyataan Annuar yang mempertikaikan pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) supaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ditadbir secara proksi.
"Pertama sekali, saya tidak perlu untuk menerima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal untuk memimpin," kata Tunku Ismail dalam cacatan di Facebook.
Malah, Tunku Ismail turut membangkitkan kegagalan pengurusan pasukan Kelantan dalam berdepan masalah kewangan ketika diterajui Annuar.
Beliau memberikan contoh Kafa sebelum ini yang tidak memanfaatkan penajaan yang diterimanya bagi melangsaikan hutang, sebaliknya membawa masuk pemain import dan jurulatih import baru.
Katanya, akibat keputusan itu, pemain-pemain tempatan menjadi mangsa kerana tidak menerima gaji mereka.
"Lebih memburukkan lagi keadaan sebagai nakhoda kapal, anda memilih untuk meninggalkan kapal tersebut, dan membiarkan anak-anak kapal anda menderita. Dan dengan situasi tersebut, anda masih ada keinginan untuk menjadi presiden FAM," sindir Tunku Ismail.
