Annuar jawab TMJ, sindir jangan salah 'pendrive'

   

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa akhirnya menjawab dakwaan-dakwaan yang dilontarkan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung penajaan badan itu kepada bola sepak Kelantan.

Menulis di Facebook, katanya, MARA tidak pernah menaja The Red Warriors (TRW) walau satu sen dan logo 50 tahun MARA pada bahagian lengan jersi pasukan itu dipamerkan secara percuma, walaupun ia bernilai RM250,000.

"Ia satu penghormatan kepada MARA daripada TRW. UniKL pula sebuah syarikat swasta, ia tidak pernah menaja atau memberi biasiswa kepada pelajarnya. jadi tidak timbul ia menggunakan dana biasiswa.

"Sebagai syarikat swasta ia mempunyai polisi sendiri terutama dalam soal penjenamaan, promosi, pemasaran dan mereka mempunyai bajet khusus untuk itu," katanya.

Terdahulu TMJ melalui pendedahannya mendakwa Annuar 'secara paksa' menggunakan duit rakyat melalui MARA dan UniKL untuk menaja skuad TRW.

Namun ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini, Annuar enggan mengulas lanjut dakwaan tersebut sebaliknya hanya memberi jawapan ringkas.

"Perlukah saya balas hujah-hujah bodoh?" katanya.

Selain itu, Naib ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin menggesa Annuar menjawab tunduhan serius yang didakwa Tunku Ismail itu.

Anggota Parlimen Ketereh itu kemudiannya menggunakan Facebook untuk mengulas lanjut perkara itu.

Menurut Annuar, UniKL sudah lama terlibat dalam penjenamaan dan pemasaran melalui sukan khususnya hoki dan bola sepak.

"Ini kerana sasaran mereka adalah menarik perhatian anak muda begitu juga syarikat Sdn Bhd (milik) MARA yang lain. Mereka punya bajet, dasar dan prosedur tersendiri.

"Semuanya tidak melalui paksaan, titah, sabda dan sebagainya," tegas bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan itu.

Selain itu Annuar turut menegaskan dakwaan dana biasiswa MARA kononnya dikurangkan adalah tidak benar, malah jauh sama sekali dikurangkan kerana menaja bola sepak.

"Saya berikan fakta ini untuk anda semua termasuk rakan-rakan media. Saya beri fakta ini untuk anda supaya boleh menyemak sumber dan petikan anda.

"Saya tidak berminat untuk melibatkan diri atau terjebak dalam polemik dengan mana-mana individu secara langsung atau tit for tat (balas membalas) kerana biasanya mereka itu kawan-kawan belaka.

"Sebagai kawan kita kenal sesama kita, kalau kawan silap kita tak usah panjang-panjang. Kita maafkan sajalah," katanya sambil menjelaskan beliau sedang memancing di Tasik Kenyir bersama mahasiswa yang mahu memulakan perniagaan.

"Salah seorang dari mereka (mahasiswa) berkata kepada saya, 'pesan pada ikan jangan banyak membuka mulut, kerana ikan yang banyak membuka mulut biasanya mudah terkena pancing'.

"Jadi kawan-kawan media, teruskan membuat catatan dan awas, jangan tersalah pendrive anda. Tolong dapatkan fakta yang betul," ujarnya.

Sebelum ini Tunku Ismail menarik perhatian ramai dengan dakwaan rasuah 30 tahun pentadbir bola sepak negara yang terkandung dalam sebuah 'pendrive'.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.