Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Satu demi satu malang menimpa Westports Malaysia Dragons selepas kembali dari kekalahan di Hong Kong, apabila perlawanan bertemu Alab Pilinas berakhir 54-65.

Dengan hanya menurunkan lapan pemain daripada 11 pemainnya, pasukan Malaysia cuma mendapat 18 jaringan daripada 75 percubaan iaitu 24 peratus jaringan.

Marcus Melvin mendapat 15 mata manakala Skylar Spencer dan Ivan Yeo masing-masing memungut 11 dan 9 mata.

Ketua jurulatih Malaysia Dragons, Christopher Thomas berkata pemain mungkin terlalu letih kerana jadual yang padat.

"Hanya 18 jaringan daripada 75 percubaan. Lihatlah betapa banyaknya jaringan yang terlepas. Saya jamin, lebih separuh daripada itu adalah open shot (percubaan jaringan yang tiada asakan)," katanya.

Bagaimanapun beliau menafikan barisan pemain bakal dirombak.

"Saya bukan seorang yang bertindak mengikut emosi. Saya inginkan kecemerlangan dari setiap pemain," ujar beliau.

Sementara itu, Ivan Yeo menyifatkan nasib tidak menyebelahi mereka walaupun sukar menerima kekalahan itu.

"Ramai di antara kami yang baru pulang dari Hong Kong semalam masih letih tetapi ini bukan alasannya. Kami tetap akan bersama dan memberi fokus dalam perlawanan seterusnya," Yeo berkata kepada Malaysiakini dalam satu kiriman mesej.

Bermula baik, rapuh dalam suku keempat

Suku pertama perlawanan bermula agak perlahan dan jaringan awal tiga mata oleh Marcus Melvin dan Freddie Goldstein memberi ruang kepada Dragons mengawal ritma permainan.

Pada dua minit terakhir suku pertama, Dragons agak selesa di hadapan dengan 6 mata, 16-10. Namun, Alab Pilinas yang tidak mudah berputus asa, menyamakan pungutan mata pada minit terakhir menerusi jaringan daripada Robby Celiz dan Ricardo Cawaling. Suku pertama berakhir dengan kedudukan 18-16.

Dalam suku kedua sebelum menamatkan separuh masa pertama untuk berehat, kedua-dua pasukan masih mencari ritma perlawanan yang agak perlahan. Alab Pilipinas kembali di hadapan sejak awal 5 minit suku pertama, hasil jaringan Sampson Carter dan Bobby Ray Parks Jr.

Dragons masih mencari peluang untuk mengurangkan jurang mata dan dalam 9 minit suku kedua, pasukan Malaysia hanya mampu menjaringkan 10 mata berbanding 16 mata daripada Alab.

Minit terakhir sebelum wisel penamat, lontaran demi lontaran daripada Kok Hou dan Loh Shee Fai tidak menjadi, menamatkan suku kedua dengan Alab Pilipinas di hadapan Dragons sebanyak 4 mata, 28-32.

Permulaan suku ketiga masih agak perlahan dan pergerakan perlawanan mula melihat perbezaannya dalam lima minit terakhir. Walaupun Dragons ketinggalan, tetapi perbezaan mata masih dapat dikejar pasukan Malaysia.

Namun, dalam 30 saat terakhir, Dragons kelihatan agak 'huru-hara' dalam gelanggang, membuka ruang untuk pihak lawan menambah mata.

Dean Hubalde dari Alab Pilipinas mengambil peluang ini dan menjaringkan 5 mata dalam selang 30 saat sebelum wisel penamat suku ini, menyebabkan Dragons ketinggalan 10 mata, 41-51.

Alab Pilipinas semakin selesa mengawal gelanggang seolah-olah Dragons tidak dapat memberi saingan. 

Jurang makin jauh

Minit berlalu dalam suku terakhir, jurang antara dua pasukan bawah liga ini semakin jauh selepas jaringan foul in oleh Lawrence Domingo membawa Alab Pilipinas kembali di hadapan, 48-58.

Jaringan tiga mata Ricardo Cawaling dalam dua minit akhir, membenamkan peluang Dragons memenangi perlawanan ini. 

Dengan prestasi sedemikian, Dragons berkemungkinan hilang peluang layak ke peringkat playoffs musim ini.

Dua lagi perlawanan sebelum berehat seminggu sempena cuti Tahun Baru Cina, Malaysia Dragons akan bertemu Saigon Heat pada 20 Januari dan Kaohsiung Truth pada 25 Januari di House of Champions, Gem in Mall di Cyberjaya.

Lihat Komen
ADS