Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
TMJ, Khairy, Annuar atau Aseh?
Diterbitkan:  Jan 24, 2017 11:58 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi dicalonkan untuk menduduki kerusi presiden FAM apabila ia dikosongkan dengan pengunduran penyandang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, tidak lama lagi.

Bagaimanapun, jika Tunku Ismail menerima pencalonan itu beliau akan bersaing dengan tiga tokoh lain yang dinamakan untuk jawatan berkenaan.

Nama yang disebut-sebut sebelum ini ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) merangkap Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa; dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Pertandingan akan berlangsung pada Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac ini.

Terdahulu nama-nama calon tersebut diumum Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, apabila tarikh akhir pencalonan berakhir, semalam.

Hamidin dilaporkan berkata, pihaknya akan menyerahkan surat pengesahan pencalonan bagi jawatan itu kepada semua calon dalam masa terdekat.

"Mereka perlu membuat keputusan sama ada mahu bertanding ataupun tidak sebelum 13 Februari dan calon akhir akan dibentangkan dalam mesyuarat exco.

"Senarai calon akhir yang akan bertanding pula akan diumumkan pada 20 Februari ini," katanya dipetik sebagai berkata.

Jawatan tertinggi FAM itu bakal kosong secara rasmi apabila Tengku Abdullah memilih untuk melepaskan jawatan itu pada tahun lalu ekoran kritikan bertali arus terhadap badan induk bola sepak Malaysia itu.

Ia sekali gus menyaksikan FAM menetapkan supaya pemilihan penggal baharu jawatankuasa eksekutif diawalkan dari 2018 ke tahun ini.

Sementara itu, Tunku Ismail dilihat antara calon disukai ramai atas komitmen yang ditunjukkan beliau dalam perkembangan semasa bola sepak tempatan di samping kejayaan mengemudi skuad Harimau Selatan.

Pencalonan kali ini merupakan kali kedua melibatkan pemilik kelab JDT itu selepas tewas kepada Tengku Abdullah pada sisi pemilihan lalu.

Nasib Khairy pula belum diketahui kerana ketika ini ada peraturan melarang seseorang menteri mengetuai badan sukan kebangsaan. Cuma larangan itu tidak bersifat mutlak.

Khairy masih boleh bertanding dan menduduki kerusi itu jika mendapat kebenaran daripada kabinet.

Aseh pula dianggap seperti 'pendatang baru' walaupun mungkin beliau tidak terlalu asing kepada sukan.

Lihat Komen
ADS