Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Jangan sertai marathon 'haram'
Diterbitkan:  Feb 3, 2017 4:41 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi amaran tegas kepada atlet di bawah naungannya agar tidak menyertai mana-mana acara larian maraton ‘haram’ iaitu pertandingan yang tidak berdaftar di bawah badan induk itu.

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim berkata tindakan tegas akan diambil termasuk disenarai hitam daripada menyertai kejohanan di dalam atau di luar negara sekiranya mereka melanggar arahan itu.

Katanya, tindakan itu diambil selepas banyak masalah timbul apabila sesuatu penganjuran tidak didaftarkan atau dianjurkan tanpa pengetahuan mereka.

“Perkara ini bukan baru dan sudah lama saya jelaskan mengenai masalah ini, namun masih ada penganjur yang menganjurkan larian maraton tanpa mendapat kelulusan kami.

“Banyak masalah timbul dan saya tidak mahu KOM dipersalahkan kerana kelemahan penganjuran,” katanya dipetik dari Harian Metro.

Karim ditemui pada sidang media Larian KL bersempena Hari Wilayah semalam, meluahkan rasa kecewanya apabila masih banyak penganjur mengabaikan arahan itu selepas mengesan beberapa perlumbaan tidak mendapat kelulusan mereka.

Menurut perlembagaan badan induk olahraga itu, setiap acara membabitkan trek, padang, maraton, jalan kaki, merentas desa, larian gunung atau sebarang pertandingan membabitkan olahraga perlu mendapat pengiktirafan mereka.

Tegasnya KOM mempunyai kuasa mutlak dalam pengelolaan maraton dengan semua ahli gabungan dan penganjur acara perlu mendapat kebenaran bertulis sebelum acara dijalankan.

Sebanyak RM3,000 dikenakan untuk semua ahli gabungan bagi setiap penganjuran manakala RM10,000 untuk mana-mana badan kerajaan yang ingin menganjurkan maraton.

 

Lihat Komen
ADS