Sebaik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim disahkan bertanding jawatan presiden FAM, 'gendang perang mula dipalu' sebagai simbolik sokongan kepada pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.
Antara terawal ialah Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang menyatakan sokongan mereka kepada pencalonan Tunku Ismail untuk merebut kerusi panas badan induk bola sepak negara pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac depan.
Presiden PFAM Hairuddin Omar, berkata pemilihan presiden kali ini agak menarik membabitkan pertembungan calon 'heavyweight' yang telah dinamakan iaitu Tan Sri Anuar Musa dan Tunku Ismail yang juga penaung PFAM sendiri.
"Mungkin pada ramai orang, pemilihan presiden dan kepimpinan baru FAM dilihat sebagai suatu proses biasa bagi persatuan sukan.
"Namun bagi kami, yang telah lama mengabdikan diri dalam dunia bola sepak, inilah "pilihan raya umum" yang sangat kami nantikan. Jika bola sepak ini umpama sebuah negara, di pilihan raya inilah, kita akan menentukan kelangsungan bola sepak Malaysia untuk generasi seterusnya," katanya.
Semalam Malaysiakini Sukan melaporkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan TMJ akan bertanding bagi jawatan itu sekali gus menyaksikan pertandingan dua penjuru menentang Annuar.
Sementara itu dalam kenyataan kepada media tersebut, Hairuddin menggariskan tiga kriteria utama yang dilihat wajib menjadi kekuatan kepada presiden baru FAM nanti.
"Pertama, meletakkan FAM sebagai keutamaan dalam urusan kerjanya. Kedua, mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam asam garam bola sepak Malaysia dan ketiga mempunyai jaringan (pengaruh) yang luas dalam dunia bola sepak sama ada dalam dan di luar negara.
"Kenapa tiga kriteria? Kerana kita perlu akui, bola sepak kita memerlukan perhatian amat khusus dan kita memerlukan sistem sokongan dan safety net yang besar untuk memastikan iltizam bola sepak Malaysia tercapai dengan jayanya.
"Tempoh 5 tahun pertama selepas pemilihan presiden dan kepimpinan baru adalah sangat kritikal bagi memandu semula hala tuju bola sepak negara dan kita ternyata tidak boleh berkompromi dalam memilih seorang presiden FAM yang baru," jelasnya.
