Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tentu sedar sukan bola sepak adalah aktiviti sangat glamor dan penuh kegilaan.

Kerana glamor dan kegilaan itulah mendorong beliau terpilih memimpin FAM pada 25 Mac lalu ketika sukan bola sepak di Malaysia hanya gah dengan nama sedangkan kedudukan kita adalah antara yang tercorot di dunia.

Bahkan di peringkat Asia Tenggara pun bola sepak kita berada di belakag Thailand, Vietnam, Singapura dan Indonesia. Pada era pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Tan Sri Hamzah Abu Samah, bola sepak Malaysia disegani dan pernah menduduki tempat ketiga Piala Asia di Teheran pada 1974.

Malaysia juga pernah dua kali ke Sukan Olimpik iaitu pada 1972 dan 1980, sebelum merudum dan penuh kegilaan sekarang. Pimpinan FAM selepas 1980-an dan sebelum 25 Mac lalu adalah yang terburuk dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Sukan bola sepak sentiasa kaya dengan drama dan intrignya. Ia bukan sekadar mengenai bola dan pemain, bahkan bagaimana bola boleh mencipta 'kegilaan' kepada penonton, pegawai persatuan sehinggalah kepada penaja dan pengadil perlawanan.

Kegilaan berkenaan cukup lengkap di Malaysia. Kita mempunyai pakej terbaik. Di negara ini kita ada pemain yang bergaji RM80,000 sebulan tapi hantaran bolanya boleh saja menjadi tidak tepat dan sering tersasar.

Kita mempunyai penonton yang luar biasa fanatiknya. Ada yang sanggup beratur panjang sehingga lima jam semata-mata untuk membeli tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA. Ada juga yang sanggup membakar kerusi stadium, melontar mercun dan bunga api.

Kita juga ada pimpinan persatuan bola sepak yang tak boleh disentuh. FAM sebelum ini pernah menghukum TMJ sendiri dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa kerana menegur pengurusan bola sepak yang tidak profesional.

Kegilaan pegawai sukan bukan sekadar gantung menggantung individu yang bersuara, malahan sanggup berpolitik dengan penuh kegilaan. Lebih fatal, sebahagian besar pimpinan sukan bola sepak dan persatuan yang lain disandang dan dinaungi oleh orang politik, termasuk yang sudah muflis idea.

Dulu menang, sekarang seri

Kerana politik juga menyebabkan pasukan bola sepak Kelantan sentiasa menjadi anak tiri di negeri sendiri. Ketika menang tiga piala - Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA - pada 2012, pasukan The Red Warriors tidak dianggap milik negeri.

Sang juara pulang ke Kota Bharu disambut sebagai wira, tetapi tidak di mata kerajaan negeri yang lebih mengutamakan ceramah dan jubah mereka.

Kita juga pernah ada penaja yang 'gila-gila' sehingga sanggup berswafoto di bangku pemain simpanan sambil mempromosi produk kecantikan. Malahan ada juga tauke jamu yang berkejar ke hospital untuk menziarah menteri besar yang sedang dirawat di sana.

Kita juga ada pengadil yang dipersoalkan tahap pengadilan mereka. Ada pengadil yang seperti memihak kepada sesebuah pasukan. Ada juga yang kerap meniup wisel. Ada juga yang gemar mengeluarkan kad kuning dan merah. Ada juga pengadil yang dihukum kerana korup.

Seperti pemain, pengadil juga ada kegilaan sendiri. Kita cuma tak ada pengadil yang guna siku dan lutut serta berani menyekeh kepala pemain atau jurulatih.

Keadaan inilah yang menyebabkan Malaysia pada era Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan Soh Chin Aun yang dulunya boleh mencabar Korea Selatan, Jepun, Iraq, Iran dan Arab Saudi tetapi kini sekadar mampu seri dengan pasukan 'tengah laut' seperti Fiji, Timor Leste dan Papua New Guinea.

Kegilaan inilah yang mendorong TMJ berani mencabar dan menduduki jawatan yang penuh drama serta sandiwara. Bola kini di kaki TMJ dan beliau berhak mengkaji sejarah kegilaan bola sepak dunia yang lebih intrig.

Sejak dulu kegilaan bola sepak diperhatikan di mana-mana sahaja. Bukan saja England dan Argentina berentap di padang bola, bahkan bergeser merebut kepulauan Falkland. Israel yang buminya terletak di Asia Barat terpaksa bermain di zon Eropah kerana isu Yahudi dan Zionisme. Korea Selatan dan Korea Utara pernah bermain di padang berkecuali semata-mata kerana pergeseran politik.

Lebih kelakar, pasukan bola sepak Iraq yang buminya hampir setiap hari digegarkan letupan bom dan tembak menembak memenangi Piala Asia pada 2007. Penyerangnya, Younis Mahmoud muncul pemain terbaik dengan meledakkan empat gol.

Bola sepak sentiasa kaya dengan kejutan. Ia kegilaan yang sentiasa luar biasa. Tiada siapa yang peduli pada Edson Arantes do Nascimento, sebelum nama glamornya - Pele - dijulang sebagai O Rei atau Sang Raja kerana membantu Brazil muncul juara Piala Dunia tiga kali iaitu pada 1958 (di Sweden), 1962 (Chile) dan 1970 (Mexico).

Ketika dunia bertanya mengenai kehebatan di padang bola, Pele hanya menyatakan kegilaan!

“Bola sepak penuh kegilaan. Kegilaan boleh menjulang nama seseorang atau membunuh kerjaya mereka,” tegas Pele. Daripada budak jalanan Pele menjadi bintang untuk dikenang sepanjang zaman.

Barangkali kerana kegilaan juga mendorong Diego Maradona ‘meminjam tangan tuhan’ ketika meledak gawang pasukan England ketika Piala Dunia 1986.

“Bola sepak penuh dengan tanggapan gila,” nafi Maradona ketika dunia mempersoalkan kewibawaan beliau sebagai penyerang setangkas Pele. Beliau hanya mengakui menggunakan tangan bagi membantu Argentina muncul juara selepas 25 tahun kejadian berlalu.

TMJ penggera perubahan

Hari ini kegilaan sebahagian daripada ciri-ciri bola sepak moden. Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan mendapat penajaan terbesar dengan separuh daripada tujuh bilion warga dunia menonton sekurang-kurannya sekali perlawanan di kaca TV ketika temasya berlangsung.

Terbaru, bintang Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo secara rasmi memiliki lapangan terbang antarabangsa yang dinamakan sempena namanya sebagai tanda penghormatan.

Hampir lima ribu peminat membanjiri majlis perasmian pertukaran nama lapangan terbang tempatan itu daripada Madeira kepada Lapangan Terbang Cristiano Ronaldo. Pulau Madeira tempat kelahiran Ronaldo.

“Untuk melihat lapangan terbang ini menukar kepada nama saya adalah satu perkara yang sangat istimewa. Semua orang tahu, saya berbangga dengan tempat kelahiran. Saya tidak meminta pertukaran ini, namun saya bukan hipokrit, dan saya akui perubahan nama lapangan terbang ini merupakan satu penghormatan besar kepada saya. Sudah tentu saya berasa sangat gembira,” kata Ronaldo, 32, yang mengepalai Portugal mengecapi kejayaan di pentas Eropah pada tahun lepas.

Malangnya kegilaan di Malaysia boleh dilihat pada landasan yang berbeza. Kita ada kegilaan yang gila-gila dan sukar dipulihkan.

Masyarakat memandang TMJ selaku jentera penggerak ke arah perubahan. Beliau tentunya gagal jika dibiar bersendirian. Baginda perlukan pasukan pimpinan, pemain dan jurulatih terbaik.

TMJ tentu arif, ketika sebahagian besar rakyat Malaysia gilakan bola sepak, mutu kita tidak seberapa. Apa pun darjat, kaum, agama, budaya dan status sosial, boleh sepak tetap menjadi minat ramai.

Bola sepak adalah sukan rakyat yang diterima pelbagai kaum dengan pelbagai jadual perlawanan dan penyertaan luar biasa. Kerajaan dan badan sukan juga tidak terkecuali menyalurkan dana besar untuk memajukan bola sepak.

Nigeria yang tergolong sebagai negara miskin mencapai kemerdekaan bersama Malaysia pada 1957 pernah menduduki ranking ke-35 dunia. Apakah kerana miskin mereka berjaya dalam bola sepak?

Ramai pemain Nigeria bukan saja bertandang ke Eropah, bahkan menjadi bintang pasukan yang menyertai Liga Malaysia sekarang. Apakah kerana kita hidup selesa mendorong bola sepak menjadi sukan belasahan semata-mata?

Lebih penting, sukan untuk mereka yang mahukan kejayaan, bukan menggunakan jawatan untuk kepentingan yang lain. Seperti kata Pele, bola harus ke depan, bukan belakang. Kemenangan dan maruah bergantung kepada jaringan, bukan polemik di luar padang.

TMJ, bola kini di kaki anda. Rembatlah!


IMLAN ADABI adalah sasterawan dan bekas wartawan Berita Harian. Tulisan ini pandangan peribadi beliau dan bukan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS