Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Legenda bola sepak Sabah, Matlan Marjan melahirkan rasa syukur atas kebebasan diberikan oleh FAM untuk kembali dalam sukan yang menjadi darah dagingnya selama ini.

"Saya amat gembira dan syukur sekiranya berita ini benar. Selepas penantian panjang selama 22 tahun untuk merasai nikmat kebebasan dalan bola sepak.

"Ya rasa seperti merdeka. Kerana bola sepak adalah darah daging saya dan keluarga sejak sekian lama," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu bekas pemain kebangsaan Matlan Marjan dan lima lagi rakan senasibnya mendapat kebebasan untuk kembali terlibat dalam bola sepak negara badan induk bola sepak negara.

Perkara itu disahkan oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini.

Dalam sesi bertemu penyokong bola sepak di Sabah, Tunku Mahkota Johor itu ditanya mengenai nasib Matlan dan rakan-rakan bekas pemain dari Sabah.

"Buat masa ini tadi kita telah membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat exco FAM untuk melepaskan mereka dan itu status semasa mereka buat masa ini.

"Ya, mereka boleh terlibat," katanya yang turut mempengerusikan mesyuarat pertama exco FAM penggal 2017-2021 di Kota Kinabalu, hari ini.

Matlan antara bekas pemain yang digantung seumur hidup oleh badan induk bola sepak kerana terlibat dalam skandal rasuah pada 1990-an.

Lima lagi pemain Sabah yang turut menerima nasib sepertinya ialah Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G Raveychandran dan Charles Tindi.

Matlan yang kini berada di Labuan berkata, dia berhajat untuk membuat kenduri kesyukuran sempena pembebasan itu.

"Insya-Allah saya akan buat kenduri kesyukuran sekali dengan sambutan hari jadi cucu sulung pada 19 April nanti.

"Apa yang penting adalah saya diterima kembali untuk terlibat dalam bola sepak. Sebelum ini saya disekat dan dipertikai apabila tampil membantu melatih pasukan bola sepak," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, di usia 49 tahun kini Matlan berkata, dia bersedia untuk memberi sumbangan di pelbagai peringkat dalam usaha memajukan bola sepak Malaysia.

"Saya bersedia untuk berkhidmat untuk mana-mana pasukan termasuk di peringkat negeri. Saya juga berharap dengan berita ini, tiada lagi pihak yang menghalang dan menyekat seelpas 22 tahun digantung.

"Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberi sokongan dari awal hingga saat ini," jelasnya yang kini membimbing kelab tempatan Sabah, Putra United.

Lihat Komen
ADS