Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengisian Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama warga sukan anjuran Kementerian Belia dan Sukan mendapat cadangan menarik daripada jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang.

Beliau menyarankan kerajaan mewujudkan caruman khas atlet sepertimana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Melalui satu video dikirimkan kepada penganjur, Azizulhasni mencadangkan supaya kerajaan dapat mewujudkan tabung khas kepada atlet yang pernah mewakili negara.

"Tabung khas ini seperti KWSP khusus untuk atlet yang pernah mewakili negara baik di peringkat bawahan iaitu pelapis hingga ke peringkat atlet elit.

"Ini bagi menjamin masa depan yang terjamin dan selesa kepada atlet-atlet negara, juga menunjukkan keprihatinan kerajaan Malaysia kepada mereka yang berkorban demi menaikkan martabat sukan negara," katanya yang tidak dapat hadir ke program itu.

Dialog TN50 anjuran KBS itu dihadiri sekitar 1,000 peserta hadiri terdiri daripada atlet, pelajar sekolah sukan, jurulatih, pegawai-pegawai sukan dan media.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, saranan 'The Pocket Rocketman' itu satu idea yang baik dan mungkin akan diangkat dalam laporan TN50 untuk pertimbangan.

"Saya sudah lama melihat kepada isu pascakerjaya dan masih ada permintaan daripada atlet supaya ada skim caruman yang dapat diwujudkan.

"Mungkin modulnya seperti KWSP yang mana sebahagian caruman itu dibuat oleh atlet dan sebahagian dibuat pihak kerajaan atau persatuan yang berkemampuan.

"Model itu seperti mana dicadangkan oleh saudara Azizulhhasni. Ia cadangan yang boleh kita fikirkan dan kita nak melihat dari segi komitmen kewangan yang diperlukan kerajaan," katanya pada sidang media selepas program berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Khairy, bagi model pembiayaan sukan jangka masa panjang itu lebih baik sekiranya turut melibatkan pihak-pihak swasta.

"Kalau kita dapat menampung pembiayaan tersebut daripada sektor swasta maka penjimatan (kerajaan) boleh digunakan untuk skim caruman tersebut," jelasnya.

Lihat Komen
ADS