Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Undian bola sepak Sukan SEA terus jadi polemik
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 12:38 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Pengundian kumpulan bagi acara bola sepak dan futsal Sukan SEA 2017 menjadi polemik apabila Malaysia selaku tuan rumah diberikan kebebasan untuk memilih kumpulan yang diingini.

Selepas bantahan beberapa negara, Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) pula bakal menyatakan sikap terhadap perkembangan itu yang dianggap menguntungkan Malaysia, lapor Tempo.

Wakil Umum PSSI Joko Driyono berkata pihaknya akan membuat keputusan mengenai perkara itu hari ini.

"Kenyataan rasmi akan diberikan berkait undian tersebut sebagai sebahagian kolektif negara-negara anggota AFF (Persekutuan Bola Sepak Asean)," beliau dipetik sebagai berkata.

Terdahulu, Vietnam dan Laos telah menyatakan bantahan terhadap tindakan Malaysia yang memohon kebebasan memilih untuk berada dalam mana-mana kumpulan bagi acara bola sepak pada temasya Sukan SEA 2017, Ogos nanti.

Megikut rekod penganjuran sebelum ini, undian dilakukan untuk semua pasukan dan pasukan tuan rumah hanya diberi kelebihan berada dalam balang yang sama dengan juara bertahan ketika proses undian dilakukan.

Pada 1 Julai lalu, AFF mengadakan perbincangan di Nha Trang, Vietnam dan sepakat untuk menghantar petisyen mengenai prosedur undian kepada urus setia penganjur Sukan SEA 2017.

Keistimewaan diperoleh Malaysia itu didakwa melanggar prinsip profesionalisme dan objektif penganjuran sukan.

Majlis undian bagi menentukan kumpulan bagi pertandingan bola sepak dan futsal itu bakal diadakan pada 8 Julai ini di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Majlis Olimpik Malaysia (OCM) bagi membincangkan isu terbabit.

"Kita akan mengadakan mesyuarat berkenaan perkara ini. Saya sudah maklumkan kepada AFF yang undian akan dilakukan lebih kurang ketika Sukan SEA Singapura 2015, tapi mungkin ada sedikit perubahan.

"Pertama, tuan rumah dan juara bertahan akan diasingkan dalam satu balang. Balang kedua pula, Vietnam dan Myanmar disusuli Indonesia dan Singapura dalam balang ketiga sementara Kemboja dan Laos dalam balang empat dan balang terakhir akan diisi Filipina, Brunei dan Timor Leste.

"Ini adalah mengikut kebiasaan di mana-mana Sukan SEA pun. Tuan rumah inginkan kelebihan termasuk Malaysia dan kita pun pernah ada masalah ketika di Thailand dan Indonesia sebelum ini. Apapun kita akan maklumkan kepada AFF selepas mesyuarat Isnin ini, " katanya seperti dilaporkan BH online.

Lihat Komen
ADS