Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Temasya Sukan SEA ke-29 kembali semula ke Stadium Nasional Bukit Jalil selepas 16 tahun dalam suasana gilang gemilang dan penuh berwarna -warni tatkala Kuala Lumpur menyambut 4,900 atlet terbaik dalam pelbagai acara sukan terbesar di Asia Tenggara.

Upacara perasmian bermula dengan pertunjukkan bunga api yang memukau serta perarakan masuk kontinjen mengikut susunan abjad didahului dengan Brunei dan sorakan penonton bergema sebaik sahaja kelibat kontinjen Malaysia terakhir melangkah masuk ke stadium dengan tiga atlet kelas dunia berada di barisan hadapan.

Tiga atlet tersohor negara, juara berbasikal keirin dunia, Azizulhasni Awang, ratu terjun dunia, Cheong Jun Hoong dan jaguh silat dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari mendahului perbarisan negara dengan membawa Jalur Gemilang.

Sebanyak 90,000 penonton yang membanjiri stadium sejak petang tadi tidak melepaskan peluang untuk merakamkan upacara pembukaan yang memaparkan elemen-elemen menarik dengan telefon bimbit dan kamera masing-masing dalam suasana meriah dan keadaan cuaca yang baik.

Malaysia, yang menyasarkan 111 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), setakat hari ini mendahului saingan pungutan pingat dengan tujuh emas dalam saingan yang menawarkan 404 pingat emas daripada 38 jenis sukan.

Upacara yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan bermula seawal 6 petang dengan acara persembahan hiburan, antaranya, persembahan pancaragam sekolah serta aksi khas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta dif-dif kehormat daripada negara peserta dan perwakilan asing.

Seri Paduka kemudian berkenan mengisytiharkan pembukaan rasmi temasya sukan itu dengan bertitah: “Beta mengisytiharkan perasmian Sukan Asia Tenggara bagi kali ke-29.”

Semua mata tertumpu kepada jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa apabila beliau mengetuai upacara membaca ikrar atlet.

Selain maskot KL2017, ‘Rimau’, 320 Jalur Gemilang dibawa masuk ke dalam stadium sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran tetamu asing oleh 32 juta rakyat Malaysia.

Ada Dayang

Penyanyi popular, Dayang Nurfaizah memukau penonton dengan mendendangkan lagu rasmi KL2017 bertajuk ‘Bangkit Bersama’ atau ‘ Rising Together’ yang juga tema temasya sukan kali ini.

Penonton mula bersorak apabila lebih 12 tokoh sukan negara termasuk legenda bola sepak Datuk James Wong, Datuk Shukor Salleh dan Datuk Santokh Singh, bekas pelari pecut, Datuk Rabuan Pit dan ratu boling negara, Shalin Zulkifli membuat kemunculan.

Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar, ketika berucap, berkata di sebalik persaingan di dalam gelanggang, semangat kesukanan, prinsip kebersamaan dan setia kawan harus menjadi keutamaan pada temasya dwitahunan ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Malaysia terutama Pengerusi Jawatankuasa Penganjur (MASOC), Khairy Jamaluddin Abu Bakar atas usaha keras demi memastikan penganjuran sukan itu berjaya.

Upacara berwarna-warni itu memaparkan kepelbagaian budaya Malaysia merangkumi empat segmen – Prospek, Persamaan dalam Kepelbagaian, Bersama-Sama Kita Utuh dan Sebuah Negara Dibina Secara Inklusif.

Antara lain, ia mengisahkan asal usul penduduk Malaysia, meraikan perbezaan rakyat pelbagai kaum di seluruh negara dan rantau ini, menekankan kepentingan kekuatan dan daya tahan serta memaparkan perpaduan dan kesepaduan rakyat dalam perbezaan dan persamaan.

Sebanyak 6,000 orang terlibat dalam acara perasmian yang terdiri daripada peserta persembahan, sukarelawan, kanak-kanak dan anggota pasukan keselamatan.

Upacara perasmian KL2017 tiba ke kemuncaknya dengan kemunculan penuh dramatik penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, pemenang pingat Sukan Komanwel, menyalakan obor kawah Sukan SEA dengan diiringii pertunjukan bunga api mewarnai dan menghiasi langit di sekitar kawasan stadium.

Selain Malaysia, temasya KL2017 sehingga 30 Ogos ini disertai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Timor Leste dan Vietnam.

Lihat Komen
ADS