Setelah empat tahun hajat untuk menganjurkan liga bola keranjang profesional kebangsaan tidak kesampaian, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) kembali dengan Liga Pro Malaysia (MPL) yang bakal berlangsung dari 13 hingga 29 Oktober.
Sebanyak lima pasukan tempatan dan satu dari Filipina akan berentap dalam kejohanan di Stadium MABA Kuala Lumpur.
Kelantan Warriors yang berjaya merangkul kejuaraan pada 2013 kini bergabung dengan Bintulu Eagles sebagai pasukan baru yang dinamakan PRG Eagles.
Juara Liga Bola Keranjang Asean (ABL) pada musim 2015-2016, Westports Malaysia Dragons turut serta dengan pasukan KL Dragons Basketball Academy.
Selain itu turut serta dalam kejohanan ini ialah Farmco Touch Up dari Perak, Verve Club (Kampar, Perak), Penang Stallions dan King Pinas Asia (Filipina) melengkapkan barisan enam pasukan dalam liga ini.
Dalam sidang media yang diadakan semalam, Timbalan Setiausaha Agung MABA Sim Sin Heng menyifatkan liga kebangsaan ini sebagai satu sesi percubaan sejurus selepas Sukan SEA baru-baru ini.
"Pada awalnya, kami ingin mengadakan liga ini pada bulan September tetapi penganjur perlu menyelesaikan beberapa isu teknikal.
"Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, saya cukup berbangga dengan sokongan padu peminat tempatan Malaysia yang memenuhi stadium semasa Sukan SEA.
"Malah, ada beberapa peminat yang tidak mendapat tiket untuk perlawanan bola keranjang semasa Sukan SEA memberitahu saya mereka tidak kisah untuk berdiri jika tiada tempat duduk," katanya.
Sim memberitahu musim percubaan MPL tahun ini adalah persediaan untuk musim yang lebih panjang tahun depan iaitu dari Julai hingga September selepas musim ABL yang bakal bermula bulan depan sehingga Mei 2018.
MPL juga bakal menyaksikan kembalinya pemain veteran negara seperti ketua pasukan kebangsaan Guganeswaran Batumalai yang pernah menyarung jersi sebagai kapten Westports Malaysia Dragons.
Ooi Ban Sin dan John Ng yang mengumumkan persaraan mereka dua tahun lalu turut kembali untuk beraksi.

