Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Pemuda Umno Kedah nafi bedal tiket Piala Malaysia

Pemuda Umno Kedah menafikan dakwaan bahawa pihaknya membedal tiket akhir Piala Malaysia antara Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Sebaliknya, Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Saiful Hazizi Zainal Abidin berkata dakwaan tersebut sengaja ditimbulkan pihak berkepentingan sebagai modal politik mereka.

"Kita bagi kepada peminat bola sepak, peminat bola sepak ini ada Umno, ada PAS, ada orang DAP, ada orang BERSATU dan ini (dakwaan tiket diagih kepada penyokong Umno) sangat subjektif.

"Jadi tuduhan tersebut tak berapa tepat, bagi saya ia satu modal politik yang cuba direka dan cuba diwujudkan menjelang perlawanan akhir Sabtu ini.

"Saya menegaskan bahawa ada pihak tertentu menggunakan bola sepak sebagai senjata politik mereka," kata Saiful kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah dibedal oleh Pemuda Umno negeri itu.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan beratus-ratus penyokong skuad Kedah menyerbu depan pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) di Alor Setar kerana kecewa tiket habis.

Ketika kemarahan penyokong Kedah memuncak kerana gagal mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia, bekas menteri besarnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesyaki ia mungkin disorok.

“Mereka beri tiket itu kepada kumpulan penyokong. Dan katanya ada senarai NGO itulah, pertubuhan inilah.

“Benda ini selalu berlaku dan saya tak tahu macam mana dia orang boleh biarkan perkara ini berlaku.

“Dan daripada maklumat yang saya dapat Pemuda Umno Kedah sendiri yang dok bedak (edar) tiket,” dakwa Mukhriz yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kepada Malaysiakini semalam.

Muhriz juga pernah membangkitkan dakwaan sama di akuan media sosialnya sebelum ini.

"Umno Kedah (bedal) tiket #pialamalaysia2017 kepada penyokong depa saja. Yang tak sokong & tak hirau politik - terlepas. Tak adil! @hijaukuning," katanya melalui Twitter.

'Bola sepak tak harus dipolitikkan'

Mengulas lanjut, Saiful berkata bola sepak tidak seharusnya dipolitikkan kerana penyokong sukan itu sendiri terdiri daripada pelbagai anggota parti politik.

"Sepatutnya bola sepak ini satu sukan yang menyatukan sebab yang datang menonton bola sepak ini berlatarbelakangkan pelbagai parti

"Contohnya Datuk Seri Ahmad Bashah kebetulan Menteri Besar Kedah dari Umno-BN jadi dia jugalah presiden KFA, dulu allmarhum Datuk Seri Azizan dari PAS dan dia jugalah presidennya, jadi tak jadi isu," kata Saiful.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar yang dihubungi Malaysiakini turut menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak betul.

"Sebenarnya kita tak kenal pun siapa yang datang mohon tiket itu, (tiket) kita tak ada 'cop' Umno, tak ada cop untuk PAS, tak ada cop PKR dan tidak ada cop NGO tetapi kita hanya berpandukan kepada jumlah pemegang permit bas," tegas Aminuddin.

Terdahulu, dalam sidang media di Wisma Darul Aman KFA menjelaskan bahawa penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah menentang JDT di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, dijalankan secara telus.

Timbalan presidennya, Datuk Paduka Syed Unan Syed Abdullah berkata sebanyak 34,000 keping tiket telah diperuntukkan kepada Kedah di mana 30,000 tiket dijual secara luar talian manakala baki 4,000 tiket lagi dijual secara dalam talian.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 17,600 tiket diberikan kepada 400 pemegang permit bas, 1,800 tiket untuk 36 buah badan gabungan KFA, 1,200 tiket kepada pemain dan pegawai KFA, 700 tiket kepada Ahli Badan Eksekutif KFA, 500 tiket kepada penaja dan 200 tiket secara keseluruhan kepada kakitangan KFA.

Kedah sebagai juara bertahan dan pemenang Piala FA bakal berdepan juara Liga Super musim ini, JDT, di Shah Alam ini.

Lihat Komen
ADS