Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
KFA: Jangan cuba nak mengajar kami mentadbir
Diterbitkan:  Nov 3, 2017 12:31 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Susulan kontroversi pengagihan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia esok, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) terus mempertahankan diri daripada kritikan bertali arus.

Sinar Harian melaporkan Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar sebagai meminta mana-mana pihak tidak cuba mengajar mereka untuk mentadbir kerana persatuan itu adalah sebuah organisasi lama.

Malah, katanya, mereka telah berjaya mengangkat pasukan Kedah berada di tahap yang tinggi dan boleh dibanggakan.

"Tiada pasukan yang mampu menandingi keupayaan pasukan kita dan jangan ada pihak tertentu yang nak hilangkan fokus pasukan kita, cuba memainkan peranan tertentu nak merosakkan pasukan ini.

"Kita berada dalam satu landasan yang paling baik. Seluruh penyokong Kedah menyokong Lang Merah hari ini dan saya fikir lain-lain negeri juga menyokong pasukan kita," beliau dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini beratus-ratus penyokong pasukan itu berkumpul depan pejabat KFA bagi menyatakan kemarahan kerana gagal mendapat tiket bagi menyaksikan Kedah melawan JDT di Shah Alam esok.

Bekas presiden KFA sendiri Datuk Mukhriz Mahathir menempelak pengedaran itu dengan mendakwa Pemuda Umno Kedah antara pihak yang membolot tiket itu – dakwaan yang dinafikan pergerakan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga menyatakan rasa kecewanya pada KFA apabila individu yang menurutnya tiada kena mengena dengan bola sepak mendapat tiket “melalui saluran tertentu”.

KFA semalam mempertahankan bahawa penjualan tiket perlawanan itu dijalankan secara telus.

'Bina stadium 100,000 penyokong'

Sementara itu, harian berbahasa Melayu itu juga hari ini melaporkan Aminuddin sebagai berkata pihaknya berusaha menambah baik sistem penjualan tiket pada perlawanan akhir sejak tiga tahun lalu masih gagal memuaskan hati semua pihak.

"Pasukan kita telah masuk ke final Piala Malaysia tiga kali berturut-turut dan kita mengadakan langkah pembaikan dari semasa ke semasa sebenarnya.

"Tetapi apa boleh buat dengan keadaan sekarang, mungkin ke depan kerajaan boleh bina stadium yang lebih besar untuk lebih 100,000 penyokong bagi memenuhi keperluan tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS