Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tekanan hantui Vingada selepas dibelasah Korea Utara

Selepas dibelasah Korea Utara 1-4 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 semalam, ketua jurulatih skuad kebangsaan Nelo Vingada kini dihantui tekanan susulan beberapa siri kekalahan sejak mengemudi Harimau Malaya Mei lepas.

Selain tekanan peminat bola sepak yang mahu melihat skuad negara bangkit, persoalan berhubung kedudukan Vingada selaku jurulatih juga turut menjadi topik, semasa sidang media selepas perlawanan di Stadium i-mobile di sini malam tadi.

Berasal dari Portugal, jurulatih berusia 64 tahun ini mempunyai pengalaman kerjaya yang sungguh baik, sebelum ini mengemudi skuad kebangsaan Arab Saudi, jarang mempamerkan emosinya dan menjawab dengan tenang mengenai masa depannya selaku ketua jurulatih Harimau Malaya.

Mengenai jawatan saya, semuanya bergantung kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia),” katanya dan menambah beliau mempunyai kontrak dua tahun dengan FAM.

Menurut Vingada, beliau telah berusaha yang terbaik untuk menghidupkan kembali kegemilangan skuad bola sepak negara dan mengingatkan perjalanan untuk meraih kejayaan masih panjang dengan banyak rintangan dan halangan yang perlu diatasi.

Tidak putus asa

“Saya kecewa dengan kekalahan teruk semalam tetapi saya tidak akan berputus asa,” katanya dan menambah pemain telah berjaya menunjukkan peningkatan dan standard permainan Harimau Malaya dengan pasukan lain tidak jauh bezanya.

Lawan mereka malam tadi, mempunyai tahap yang lebih tinggi daripada Malaysia, iaitu Korea Utara pernah menyertai Piala Dunia dan kini berada di kedudukan ranking ke-132 dunia.

Bermain dalam stadium yang hampir kosong kecuali dengan kehadiran beberapa warga Malaysia, peminat Korea Utara dan penonton Thailand, pemain Jorn Andersen, sebahagian daripadanya kini menyertai Liga terkemuka di Jepun dan Eropah, dengan mudah menembusi benteng pertahanan Harimau Malaya dengan hantaran tepat dan silang.

“Mereka (Korea Utara) standardnya lebih baik daripada kita,” kata Vingada, juga mengakui perbezaan fizikal antara kedua-dua pasukan juga memberi kelebihan tambahan kepada lawan terutama menguasai hantaran bola tinggi.

Jurulatih Portugal itu dijangka melakukan beberapa perubahan apabila bertemu Korea Utara bagi perlawanan kedua Isnin ini, termasuk meletakkan penyerang, Safawi Rashid yang menjaringkan gol sagu hati Malaysia semalam, dalam senarai pertama.

Safawi yang menyinar pada Sukan SEA Ogos lepas, beraksi pantas dan telah meletakkan pertahanan Korea Utara di bawah tekanan, beberapa kali.

Kempen Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 seakan sudah hampir ke penghujung dengan kekalahan teruk semalam, dengan dua perlawanan terakhir menentang Korea Utara Isnin ini dan kemudian Lubnan, sukar untuk memulihkan keadaan.

Harimau Malaya berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan, dengan juara Lubnan, layak ke final dengan Hong Kong, manakala Korea Utara berada di kedudukan lebih baik, di tempat kedua untuk mengiringi Lubnan.

Sejak mengemudi Malaysia, Vingada masih gagal meraih kemenangan untuk Malaysia, sebaliknya skuad negara mengalami enam kekalahan.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS