Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa tiada penurunan kuasa daripada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada Setiausaha Bahagian Kewangan kementerian itu berhubung peruntukan kewangan yang disalurkan oleh Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).
Bekas ketua setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed berkata tanpa penurunan kuasa daripada pegawai pengawal iaitu Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian Kewangan tidak boleh menandatangani mana-mana surat pembayaran untuk pembiayaan aktiviti sukan anjuran KBS.
"Sesuatu bayaran kepada program-program sukan hanya boleh dibuat selepas mendapat kelulusan daripada jawatankuasa akaun amanah," kata saksi pendakwaan ke-29 itu.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Amir Nasrudin ketika pemeriksaan utama pada perbicaraan kes bekas setiausaha Bahagian Kewangan KBS, Otman Arsahd, 58, yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta, empat tahun lepas.
Kepada soalan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, saksi itu memberitahu bahawa penurunan kuasa wujud dan dibenarkan sekiranya pegawai pengawal bersetuju membenarkan individu lain menjalankan tugas atau tanggungjawab bagi pihaknya.
Mohid, 60, juga bersetuju dengan soalan Muhammad Rafique bahawa penurunan kuasa yang berkaitan dengan KWASN dibenarkan khususnya untuk penganjuran program-program sukan.
Otman dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, antara 28 Feb 2012 hingga 18 Nov 2015.
Bagi 15 tuduhan menyalahgunakan kedudukan, Otman didakwa mengarahkan Pengarah Bahagian Kewangan MSN, Abdul Rashid Yaakub untuk membuat bayaran berjumlah RM2,161,000 kepada syarikat Dial Ex Sdn Bhd, yang dimiliki dua anaknya, bagi pelbagai program kementerian antaranya program Futsal 2012 dan program sampingan Formula One (F1) 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Bagi 17 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, Otman didakwa memberi surat pembayaran melalui akaun kementerian kepada Abdul Rashid untuk bayaran pelbagai program kementerian berjumlah RM36,310,400 kepada tiga syarikat milik rakannya.
Bagi pertuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 18 akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.
- Bernama
