Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sukan memanah berkuda mampu harumkan nama negara
Diterbitkan:  Nov 20, 2017 2:44 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Sukan memanah berkuda semakin mendapat tempat di negara ini, malah ia turut berpotensi untuk mengharumkan nama Malaysia berikutan prestasi atlet negara yang mencatatkan prestasi cemerlang pada kejohanan antarabangsa.

Walaupun belum begitu popular di Malaysia, negara seperti Jepun, Korea dan Turki mengagumi kebolehan dan kemampuan atlet negara dalam sukan itu.

Naib Presiden Persatuan Pemanah Berkuda As-Sibaq Malaysia (As-Sibaq) Azizan Zakaria berkata prestasi atlet memanah berkuda negara meningkat dengan sangat baik dari tahun ke tahun dan berpotensi untuk diperkenalkan dengan lebih meluas lagi.

"Negara luar kagum dengan prestasi kita dan nama kita cepat melonjak naik walaupun kita masih baharu dalam sukan ini.

"Prestasi Malaysia antara yang terbaik walaupun kita tidak mempunyai kuda dan tempat latihan yang mencukupi. Ia tidak menjadi penghalang kepada mereka yang betul-betul berminat dalam sukan ini," katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam rancangan Nine11 terbitan Bernama News Channel di Kuala Lumpur hari ini.

Azizan yang baru memenangi pingat gangsa dalam acara Qabaq pada Kejohanan Memanah Berkuda Dunia 2017 di Sokcho, Korea Selatan berkata sukan itu memerlukan ketangkasan untuk menunggang serta mengawal kuda dan pada masa yang sama dapat membidik sasaran dengan tepat.

Acara Qabaq memerlukan peserta menyasarkan anak panah pada piring yang diletakkan di tiang.

"Sukan ini agak mencabar dan boleh mendatangkan bahaya sekiranya mereka tidak mempunyai kemahiran. Nasihat saya kepada mereka yang berminat mereka boleh mulakan dengan belajar menunggang kuda terlebih dahulu. Apabila sudah mahir, mereka boleh mula belajar memanah dan gabungkan kemahiran itu.

"Ada juga yang berkata ia adalah sukan yang mahal tetapi sebenarnya tidak. Banyak tempat latihan berkuda disediakan sekarang," katanya.

Selain Azizan, seorang lagi anggota persatuan, Marshal Ajail memenangi pingat emas dalam acara Mogu (menyasarkan anak panah pada sasaran yang bergerak) pada kejohanan yang sama.

Azizan berkata pihaknya mengharapkan bantuan daripada pihak yang berkaitan untuk membantu mengembangkan sukan memanah berkuda yang turut dikenali sebagai satu daripada sunah Nabi Muhammad SAW.

"Walaupun telah memenangi pelbagai kejohanan antarabangsa sejak 2009 namun sukan ini masih belum mendapat perhatian daripada pihak yang berkaitan dan saya berharap mereka yang berminat termasuk pihak berkaitan boleh sama-sama membantu kami menaikkan sukan ini," katanya.

Azizan berkata kepada sesiapa yang berminat boleh mengunjungi Malaysian Armed Forces Equestrian Centre (MAFEC) di Pangkalan Udara Kuala Lumpur untuk melihat latihan sukan memanah berkuda atau melawat laman Facebook rasmi As-Sibaq untuk maklumat lanjut.

-Bernama

Lihat Komen
ADS