Paling Popular
Terkini

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi bayangan dua syarikat gergasi bakal menjadi penaja utama mereka bagi menghadapi musim 2018, tahun depan.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya masih dalam perundingan dengan syarikat terbabit dan hampir mencapai kata sepakat.

"Kita sedang berunding dan hampir mencapai kesepakatan bersama dua syarikat gergasi dalam bidang automotif dan kewangan.

"Insya-Allah bila tiba masanya kita umumkan semula," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Bibi Ramjani (gambar, bawah, kiri)  menghadiri majlis menandatangani tajaan bersama beberapa syarikat dan rakan kongsi Kafa.

Hadir sama Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman dan Pengurus Besar Al-Quds Travel & Umrah, Iskandar Hassan.

Sementara itu, Bibi Ramjani mengesahkan Kafa sudah menerima RM2 juta nilai tajaan setakat ini.

Bagaimanapun, persatuan yang menaungi skuad The Red Warriors itu sekurang-kurangnya memerlukan minima RM10 juta bagi memantapkan lagi pasukan.

Bibi Ramjani berkata setakat ini pihaknya sudah menerima tajaan berbentuk kewangan, jersi dan kelengkapan logistik yang menjadi keperluan asas setiap pasukan.

Menurutnya, tajaan berkenaan membabitkan syarikat perlancongan, Al-Quds Umrah & Travel; Syarikat pakaian sukan, Al-Ikhsan serta rakan kongsi antaranya Excel Printing; Exa Supply & Services; Klinik Mesra dan Pakaq Gom Gym.

Rundingan tajaan syarikat Jepun

"Setakat ini tajaan diperoleh membabitkan perkara yang membantu pasukan seperti penajaan pakaian pasukan, logistik serta penginapan.

"Tajaan ini dapat membantu mengurangkan perbelanjaan Kafa dalam menempuhi saingan liga musim depan," katanya.

Selain itu tambahnya, Kafa juga sedang berunding mengenai tajaan dari dua syarikat Jepun dan hampir mencapai 80 peratus persetujuan.

"Bagi tajaan Yakult dan Rohm-Wako rundingannya sudah mencapai 80 peratus dan pihak mereka meminta tarikh sehingga 10 Disember ini untuk memuktamadkan perjanjian tajaan mereka," jelasnya.

 

Lihat Komen
ADS