Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Nelo Vingada letak jawatan
Diterbitkan:  Dec 6, 2017 4:22 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Nelo Vingada meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata keputusan itu diambil atas rasa tanggungjawabnya terhadap prestasi skuad kebangsaan sepanjang kendaliannya.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, katanya lagi.

"Atas rasa tanggungjawab dengap apa yang telah berlaku, saya mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta merta.

"Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) telah menerima keputusan yang saya buat ini," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman rasmi FAM hari ini.

Dilantik secara rasmi pada 15 Mei lalu, Harimau Malaya menempuhi tujuh perlawanan di bawah kendaliannya, dengan lima kekalahan dan dua seri.

Statistik itu menjadikan Vingada sebagai jurulatih Harimau Malaya dengan rekod terburuk.

Turut mengikut jejak langkah Vingada adalah dua pembantunya, iaitu penolong jurulatih Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan jurulatih kecergasan Francisco Jose Bruto Da Costa.

"Saya berharap bola sepak Malaysia kembali bersinar selepas ini. Saya berbangga dapat menjadi sebahagian warganya biarpun dalam tempoh yang singkat ini," kata jurulatih asal Portugal itu lagi.

FAM dalam kenyataan ringkas mengucapkan penghargaan terhadap ketiga-tiga mereka atas sumbangan dan khidmat terhadap Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) berkata, dua jurulatih tempatan Tan Cheng Hoe dan Azmin Azram Abdul Aziz kekal sebagai penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol.

"Perancangan terbaru skuad kebangsaan bagi menghadapi tahun 2018 akan dimaklumkan Tunku Presiden sendiri dalam masa terdekat," katanya lagi.

Harimau Malaya kini berada di tangga 174 dalam ranking terbaru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Sebagai perbandingan, negara berada pada kedudukan 156 pada November tahun lalu, ketika masih di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Lihat Komen
ADS