Paling Popular
Terkini

Pemain bola sepak sekarang diingatkan supaya tidak mudah terikut-ikut dengan budaya bola sepak luar, sebaliknya mengutamakan jiwa dan semangat patriotisme ketika bermain menentang pihak lawan.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan antara 1986 hingga 1993, Radhi Mat Din, 53, berkata semangat patriotisme semakin pudar apabila terdapat segelintir pemain lebih mementingkan imbuhan dan ganjaran semata-mata.

Radhi yang merupakan pemain tengah itu berkata, kebanyakan pemain bola sepak sekarang sentiasa meletakkan imbuhan di hadapan, berbeza dengan pemain dahulu yang mempunyai semangat juang yang tinggi untuk memastikan pasukan mereka beroleh kejayaan.

“Jiwa kami terhadap sukan bola sepak terlalu besar, sebab itu dulu kami bermain dengan penuh kesungguhan dan akan rasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila pasukan yang kami wakili berjaya,” katanya kepada Bernama di Alor Setar hari ini.

Radhi yang merupakan kapten pasukan Kedah pada 1991 hingga 2000 berkata skuad kebangsaan yang diwakilinya berjaya memperoleh pingat emas pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur dan pingat perak Sukan SEA Jakarta 1987.

Sementara itu, Khamal Idris Ali, 48, yang merupakan bekas pemain di posisi pertahanan bagi skuad kebangsaan 1993 hingga 1996 dan pemain Kedah 1987 hingga 2000 berkata pemain perlu bangga dan membawa semangat patriotisme apabila dipilih mewakili negara, kerana bukan semua pemain diberi peluang menggalas nama Malaysia.

Tak boleh cakap bagus tidak

"Masa kami dahulu, nak bawa nama Malaysia ini berat, sebab tu kami berjuang habis-habisan dalam padang. Apabila menang, perasaan bangga ketika itu tak boleh nak digambarkan, tambahan pula dengan sorakan penyokong,” katanya.

Pada 25 Nov lalu, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan kekecewaan beliau terhadap sikap terlalu memikirkan soal ganjaran dalam kalangan pemain kebangsaan termasuk skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

Dalam pada itu, Khamal Idris yang juga merupakan ahli Majlis Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata cara permainan pemain dulu dan sekarang banyak berubah mengikut peredaran zaman dan kecanggihan teknologi yang ada dalam sukan.

"Cara pemain sekarang lebih kepada kepantasan manakala kami dulu lebih memfokuskan kemahiran.

"Bola sepak sekarang sudah moden hingga membolehkan kajian untuk mengenal pasti kesesuaian pemain untuk bermain di posisi mana boleh dilakukan. Jadi, saya tidak boleh cakap dulu bagus dan sekarang tidak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khamal Idris berkata pemilihan jurulatih import untuk melatih sesebuah pasukan tidak bermakna jurulatih tempatan tidak bagus.

Hakikatnya, kata Khamal Idris, ia mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

"Sebelum ambil jurulatih kita kena pilih betul-betul dan kaji pencapaian dia. Jurulatih luar ini ada kelebihan dari segi bawa idea-idea corak permainan baru dan yang tidak sinonim dengan kita, tapi kekurangan adalah sama ada pemain kita dapat ikut rentak dan idea yang dibawa," katanya.

Namun Radhi yang juga bekas penolong jurulatih Kedah sejak 2004 hingga 2013 mengakui jurulatih tempatan turut mempunyai kemahiran serta kebolehan mengendalikan sesebuah pasukan bola sepak setanding jurulatih luar negara.

“Persepsi masyarakat terhadap jurulatih tempatan perlu diubah. Kalau anak tempatan ini tidak mempunyai kecekapan untuk membimbing pasukan, kita perlu hantar mereka untuk mendalami ilmu kejurulatihan bukan dengan mengambil jurulatih dari luar,” katanya.

Katanya, Tan Cheng Hoe, Muhammad Nidzam Adhza Yusoff dan Dollah Salleh adalah antara jurulatih tempatan yang terbaik dan mampu membimbing pasukan mereka hingga meraih pelbagai kejayaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS