Sejak sekian lama Tiffany Abreu beraksi di dalam gelanggang bersama rakan sepasukan lelaki.
Dia pernah bermain dalam liga bola tampar di Brazil, Portugal, Sepanyol, Belanda, Belgium dan Indonesia.
Dengan ketangkasan yang ada dan kerjasama berpasukan, Abreu berjaya mengumpul berpuluh-puluh piala.
Namun pada 2012 memilih untuk 'permainan' yang lebih bahaya. Abreu meninggalkan sukan bola tampar untuk menjadi wanita.
Semalam untuk kali pertama selepas menjalani pembedahan menukar jantina Abreu turun beraksi sekali lagi. Kali ini bermain bersama pasukan wanita.
Dia juga menjadi permain transgender pertama dalam Superliga Brazil.
Menariknya atlet berusia 33 tahun itu membuat perubahan berkenaan di Brazil - sebuah negara Latin Amerika yang mempunyai masyarakat paling sukar mengekang keganasan terhadap golongan transgender.
"Saya tak sangka sehingga baru-baru ini bahawa saya boleh bermain bola tampar semula," katanya kepada AP selepas perlawanan berkenaan berakhir.

Dalam perlawanan itu Abreu sendiri menyumbang 25 mata untuk kelabnya, Volei Bauru, yang menumpaskan Pinheiros dengan tiga set berbalas satu.
Dia memulakan perjalanan menukar jantina di Itali. Selepas mendapatkan rawatan hormon bagi mengawal kadar testosterone dalam darahnya, Abreu melalui pembedahan mengubah jantina.
Identiti asalnya juga ditukar. Dia menjadi seorang wanita dengan nama yang baru.
Tak ada sebab menghalang
Kemudian Abreu memohon pengesahan daripada Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa pada tahun ini untuk membenarkan dia bermain bersama pasukan wanita.
Tidak lama kemudian Abreu menerima berita yang menggembirakan daripada ejennya. Dia dibenarkan bermain bola tampar semula.
"Ada peraturan yang ditetapkan dan saya memenuhi setiap yang disyaratkan, bukannya saya dibenarkan bermain semula kerana saya atlet transgender," katanya.
Untuk rekod pada 2016 Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membuat keputusan atlet transgender perlu dibenarkan bersaing dalam sukan OIimpik serta kejohanan lain tanpa menjalani pembedahan menukar jantina.
"Perlu dipastikan sebaik mungkin atlet trangender tidak dikecualikan daripada peluang menyertai pertandingan sukan," kata IOC.

Awal tahun ini Abreu bermain untuk pasukan bola tampar wanita yang bersaing dalam liga bahagian kedua di Itali.
Ketika dia mendapat banyak sokongan, pada masa sama Abreu turut merasai tekanan daripada kecaman pelbagai pihak, daripada peminat sukan berkenaan hinggalah rakan sepasukan sendiri.
Abreu akhirnya memilih untuk kembali ke Brazil dan berada lebih dekat dengan keluarganya yang tinggal di kawasan luar bandar di negeri Goias.
Sesekali, kata Abreu, ibunya masih memanggil dia dengan nama asal - Rodrigo.
"Dia tetap menyayangi saya sama seperti sebelum ini," kata Abreu yang tidak pernah bertemu dengan bapa kandungnya.
Dia menandatangani kontrak bermain untuk kelab Volei Bauru pada awal Dis ini.
Setakat separuh musim tahun ini pasukan berkenaan berada di tempat kesembilan daripada 12 pasukan.
Dengan bakat dan kemampuan yang ada Abreu berharap jurulatih skuad bola tampar kebangsaan Brazil memilihnya bermain untuk negara di kejohanan Olimpik Tokyo pada 2020.
"saya tahu Jose Roberto Guimaraes memerhati kami semua, dan saya mahu bersedia jika peluang itu datang," katanya.
Sementara itu bercakap kepada akhbar Estado de S Paulo, Guimaraes berkata dia tidak nampak alasan mengapa Abreu tidak layak berada dalam pasukannya.
"Dia diizinkan bermain dalam Superliga, jadi saya tidak nampak ada masalah untuk memanggilnya bermain bersama skuad kebangsaan Brazil," katanya.
