Siapa sangka, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dahulunya adalah seorang pemain bola sepak dalam liga negeri, dan lebih mengejutkan, dikenakan penggantungan seumur hidup.
Menurut Sinar Harian, peristiwa itu berlaku kira-kira 40 tahun lalu, ketika Mohamad menjadi pemain pertahanan untuk kelab NS Malays.
Mohamad berkata, hukuman itu gara-gara tidak puas hati dengan tindakan pengadil yang melayangkan kad merah kepadanya ketika menentang kelab NS Indians dalam perlawanan liga tempatan di Majlis Perbandaran Seremban.
Mengenang kembali peristiwa itu, beliau berkata semuanya bermula selepas beliau mengasari pemain kelab itu yang juga pemain kebangsaan, G Torairaju.
"Saya ditugaskan mengawal pemain kebangsaan, G Torairaju dan permainannya sangat bagus, laju. Saya dilayangkan kad kuning tetapi saya bantah dan tendang bola sehingga terkena pengadil.
"Pengadil tunjuk kad merah, saya rampas kad dari tangan pengadil dan baling ke atas lalu tersangkut di pokok," katanya seperti dipetik.
Itu adalah perlawanan rasmi terakhirnya ekoran dikenakan larangan bermain seumur hidup, katanya lagi yang kini menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
Kisah peggantungan seumur hidup itu mula diperkatakan di media sosial selepas satu artikel di laman The Patriots 31 Disember lalu.
Dalam pada itu, beliau tidak mahu penggantungan itu ditarik semula walaupun ada usaha daripada PBNS untuk menamatkan hukuman itu.
“Ada usul dari ahli majlis PBNS kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu untuk menamatkan penggantungan itu, tetapi saya kata tidak perlu, kerana memang saya salah dan saya layak dibuang padang serta terpaksa menanggungnya,” katanya lagi seperti dipetik.
Menurut Bernama, perlawanan itu berlangsung pada tahun 1977 dan penggantungan hanya berkuat kuasa di liga di Negeri Sembilan.
