Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka membuat keputusan mengenai rombakan dalam skuad ke kelayakan Piala Thomas 2018, minggu ini.
Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata beliau akan berbincang dengan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek mengenai skuad ke Kejohanan Berpasukan Badminton Asia, di Alor Setar, Kedah bermula 6 hingga 11 Feb ini, yang merupakan kejohanan kelayakan ke Piala Thomas dan Uber.
Ia berikutan prestasi baik dua pemain yang tidak disenaraikan oleh BAM sebelum ini, Leong Jun Hao dan pemain professional, Liew Daren pada kejohanan Master Thailand dari 9 hingga 14 Jan dan Master Malaysia minggu lepas.
Tiga pemain yang disenaraikan ke kejohanan itu pula tersingkir seawal pusingan pertama di Master Malaysia, iaitu Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven, manakala Lee Zii Jia terkandas pada pusingan kedua.
“Minggu ini saya akan bincang dengan Misbun, kerana dalam mesyuarat persiapan pasukan dua hari lepas telah dimaklumkan untuk melihat semula komposisi perseorangan lelaki. Mungkin ada juga pemain luar BAM disenaraikan, namun kita kena hormati keputusan jurulatih kerana mereka adalah pakar teknikal.
“Jika tidak sempat (rombakan) untuk Kejohanan Asia, mungkin pada Piala Thomas nanti… Misalnya Daren kerana beliau akan bermain di Masters India (30 Jan hingga 4 Feb), tetapi mengikut perancangan awal, kita dah gerak ke Alor Setar pada 2 Feb, tetapi kita masih terbuka.
“Selain perseorangan lelaki, kita juga mungkin ada pertukaran di skuad wanita kerana masalah kecederaan. Namun keputusan akan dibuat selepas mendapat laporan kesihatan Rabu ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengenai peraturan baharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang mewajibkan 15 pemain terbaik menyertai sekurang-kurangnya 12 kejohanan utama dalam setahun, Chin Chai berkata beliau ada membincangkan mengenai perkara itu kepada BWF, selain telah menghantar surat sebelum ini.
“Kita bincang dengan BWF bahawa kita berpaksikan atlet, paling penting ialah fokus kepada prestasi atlet, tetapi belum ada keputusan. Saya ada bincang juga dengan China, Korea Selatan dan Indonesia, mereka setuju secara lisan, tetapi tak pasti hantar surat atau tidak,” katanya.
Jaguh badminton negara, Chong Wei yang menduduki tangga kedua ranking dunia, sebelum ini berkata beliau lebih rela membayar denda kepada BWF, berbanding memudaratkan diri bermain begitu banyak kejohanan, lebih-lebih lagi apabila khidmatnya masih diperlukan untuk saingan Sukan Komanwel pada April, Piala Thomas (Mei) dan Sukan Asia (Ogos). -Bernama
