Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Bekas doktor gimnastik cabul atlet dipenjara 175 tahun
Diterbitkan:  Jan 25, 2018 11:49 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Bekas doktor gimnastik Amerika Syarikat (AS), Larry Nassar dijatuhi hukuman penjara
sehingga 175 tahun penjara, selepas didapati bersalah melakukan penderaan seksual ke atas gadis-gadis remaja dengan menjadikan rawatan perubatan sebagai alasan dia berbuat demikian.

“Saya baru sahaja menandatangani waran kematian anda,” kata Hakim Mahkamah Ingham County Circuit, Rosemarie Aquilina sewaktu menjatuhi hukuman selepas seminggu keterangan diberikan oleh 160 mangsa Nassar.

Hadirin dan mangsa menangis, bertepuk tangan dan berpelukan apabila Nassar, 54, berpakaian lokap penjara biru gelap, dibawa keluar dari mahkamah. Rachael Denhollander, wanita pertama yang secara terbuka menuduhnya pada 2016, berpelukan dengan Angela Povilaitis, pendakwa raya utama.

Selepas keputusan hukuman diumumkan, presiden Universiti Michigan, tempat Nassar bekerja, berkata beliau akan meletak jawatan selepas menerima bidasan kerana tidak melakukan secukupnya untuk menghentikan penderaan seksual berkenaan.

Ketua Jawatankuasa Olimpik AS menyeru semua pengarah Gimnastik Amerika Syarikat untuk meletakkan jawatan.

Nassar, yang berkhidmat sebagai doktor sepanjang empat Sukan Olimpik, memohon maaf kepada mangsa-mangsa semasa perbicaraan, dan memberitahu mereka, “Apa yang saya alami kini tidak setara jika dibandingkan dengan kesakitan, trauma dan tekanan emosi yang anda semua rasakan. Tiada kata-kata bagi menjelaskan betapa saya amat menyesali terhadap apa yang telah berlaku.”

Lebih daripada 160 wanita dan perempuan menuduh Nassar melakukan penderaan seksual selama dua dekad.

- Reuters

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS