Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Doktor buas cabul lebih 100 atlet dipenjara 175 tahun
Diterbitkan:  Jan 25, 2018 3:01 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Harapkan pagar, pagar pula berbuat onar. Itu yang dilakukan seorang doktor untuk pasukan gimnastik AS selepas disabitkan kesalahan seksual ke atas atlet negara itu.

Ketika membacakan keputusannya hakim Rosemarie Aquilina memberitahu dia baru saja menandatangani perintah "hukuman mati" ke atas tertuduh, Dr Lawrence G Nassar.

Hukuman yang dikenakan terhadap Nassar ialah penjara antara 40 hingga 175 tahun. Dia dituduh melakukan kesalahan itu ke atas hampir 160 wanita yang sebahagiannya sempat diberikan ruang untuk menyatakan kemarahan mereka di mahkamah dalam perbicaraan yang berlangsung selama tujuh hari itu.

Kata Rosemary (gambar), dengan tempoh penjara yang dikenakan ke atas Nassar, kemungkinan besar tertuduh terbabit akan mati dalam penjara.

"Seperti kebangaan dan keistimewaan buat mangsa kamu, saya bangga dan menjatuhkan hukuman kepada kamu.

"Sebab, encik, kamu tak berhak berjalan bebas lagi di luar penjara selepas ini.

"Saya baru saja menandatangani waran kematian kamu," katanya di kamar mahkamah yang turut dihadir sebahagian mangsanya.

Antara mereka termasuk atlet Olimpik AS.

Tulis surat kecam mangsa

Sebelum membacakan penghakimannya mahkamah di Lansing, Michigan itu turut diperdengarkan dengan sebahagian kandungan surat ditulis Nassar kepada atlet yang pernah menjadi mangsanya.

Surat itu dibacakan sendiri oleh Rosemary.

Selain mengadu layanan yang diterimanya semasa dalam tahanan, Nassar juga mendakwa wanita terbabit terdesak mahu mendapatkan perhatian media, selain tertarik kepada tawaran wang.

"Tidak ada yang lebih dibenci neraka selain wanita hina," katanya.

 

 

Selain bertugas sebagai pegawai perubatan rasmi pasukan gimnastik AS, Nassar, 54, ialah doktor osteopati berlesen yang turut berkhidmat di Universiti Michigan antara 1997 hingga 2016.

Sebelum ini kira-kira 140 wanita mengemukakan saman ke atas Nassar, persatuan gimnastik AS serta universiti terbabit dan mendakwa kes pedofilia itu sudah diadukan kepada dua institusi terbabit beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun tiada tindakan diambil ke atas Nassar.

Sebelum ini mahkamah lain sudah menghukum Nassar dengan penjara 60 tahun atas kesalahan memiliki bahan lucah kanak-kanak.

Dalam perbicaraan di depan hakim Rosemary, tertuduh mengaku salah atas 10 dakwaan membabitkan serangan seksual ke atas remaja perempuan termasuk atlet Olimpik.

Perbicaraan itu juga mendedahkan bagaimana Nassar mencabul mangsa atas alasan melakukan rawatan atau pemeriksaan perubatan.

Antara mangsa Nassar ialah budak berusia enam tahun, manakala majoriti mereka mewakili AS dalam sukan Olimpik.

Orang paling berani

Kes itu juga menyaksikan Presiden Universiti Michigan, Lou Anna Simon, meletakkan jawatannya ekoran tekanan pelbagai pihak yang berang terhadap institusi terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Olimpik AS, Scott Blackmun, turut dikecam kerana gagal menunjukkan sokongan kepada mangsa.

Blackmun tidak hadir sepanjang tempoh Nassar dibicarakan di mahkamah.

Seorang daripada mangsa yang diberikan peluang memberi kenyataan di mahkamah hari ini ialah Rachael Denhollander. Dia menjadi antara mangsa terawal tampil membuat pendedahan mengenai kebuasan Nassar.

"Nassar ialah pendera paling berbahaya. Dia mampu memanipulasi seseorang melalui kaedah yang tenang dan terancang serta memaparkan dirinya sebagai orang yang mengambil berat mangsa," katanya.

Hakim turut memuj Rachael kerana keberaniannya mendedahkan belang yang selama ini disembunyikan Nassar.

"Kamu orang paling berani pernah saya jumpa di mahkamah saya," katanya.

Lihat Komen
ADS