Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Exco janji kemelut stadium S'gor selesai dalam 3 bulan

Tempoh dua hingga tiga bulan diperlukan kerajaan negeri bagi memutuskan berkenaan isu permohonan menjadikan Stadium Shah Alam sebagai stadium rasmi untuk pasukan Selangor dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari berkata ini kerana pihaknya kini masih dalam proses perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

"Saya telah bertemu dengan Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) berhubung perkara yang dibangkitkan sebelum ini dan penjelasan mengenai isu yang berbangkit juga telah diberikan.

"Mereka faham dengan situasi yang berlaku dan berpuas hati dengan hasil perbincangan. Mereka juga faham tindakan tersebut bukan diambil secara suka-suka.

"Namun saya masih perlukan tempoh dua hingga tiga bulan bagi menyelesaikan isu ini dan kita mempunyai tempoh masa yang cukup sebelum perlawanan bermula," katanya kepada Malaysiakini.

Amirudin berkata demikian mengulas desakan BBPS supaya Stadium Shah Alam dijadikan stadium rasmi bagi perlawanan melibatkan pasukan Selangor.

Penyokong Red Giants sebelum ini menuntut kerajaan negeri Selangor mengetepikan kemelut politik dan membenarkan pasukan juara Piala Malaysia 33 kali itu menjadikan Stadium Shah Alam sebagai stadium rasmi mereka.

FAS tak bekerjasama?

Jurucakap BBPS, Mohd Firdaus Abdul Mutalib, sebelum ini berkata kerajaan negeri tidak sepatutnya menjadikan mereka sebagai mangsa kemelut politik yang melanda FAS yang sehingga menyebabkan mereka  tidak dapat menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi di gelanggang yang cukup sinonim dengan pasukan itu.

BBPS hari ini mengadakan pertemuan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dengan Amirudin untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung perkara itu.

Mengulas berhubung dakwaan kerajaan negeri telah tiga kali menolak permohonan FAS supaya Stadium Shah Alam dijadikan lokasi rasmi, Amirudin menafikan perkara itu.

Sebaliknya Amirudin berkata FAS baru sekali membuat permohonan tersebut tahun lalu dan pertemuan rasmi dengan persatuan bola sepak itu baru masuk kali kedua selepas setahun tidak mengadakan perbincangan.

"FAS baru sekali buat permohonan dan tahun ini merupakan pertemuan kali kedua selepas setahun tidak berjumpa," katanya.

Sementara itu mengulas alasan utama kenapa Stadium Shah Alam itu tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri, Amirudin berkata ia disebabkan keengganan FAS dalam memberikan kerjasama.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamed Azmin begitu mengambil berat perihal rakyat dan memberikan penumpuan utama di dalam pembangunan bola sepak.

Katanya, ia terbukti apabila pasukan Merah Kuning itu berjaya menamatkan kemarau panjang dengan menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2015 sekaligus berjaya mencapai Misi 33, iaitu misi menjulang Piala Malaysia kali ke-33.

Namun, usaha untuk terus membawa perubahan dan kemajuan itu kemudiannya ditentang oleh segelintir pimpinan FAS.

Ugut tarik balik kemudahan FAS

Menurut Amirudin lagi, hal ini berlaku pada tahun 2016, apabila segerombolan Ahli Majis Pimpinan Eksekutif FAS bertindak keluar (walkout) daripada mesyuarat yang dipengerusikan oleh menteri besar ketika itu.

"Gerombolan yang dikepalai oleh Datuk Seri Subahan Kamal ini mendesak menteri besar menarik balik arahan pemberhentian setiausaha agung FAS dan bendahari FAS pada minit pertama mesyuarat sedangkan menteri besar berjanji perkara tersebut akan dibincangkan pada agenda yang kelima.

"Tindakan biadab itu tidak sepatutnya dilakukan terhadap Azmin yang merupakan presiden FAS. Tindakan angkuh itu mencabar kedudukan kerajaan negeri Selangor yang memahami denyut nadi rakyat dan peminat bola sepak Merah Kuning," katanya.

Oleh kerana itu, Amirudin berkata pegawai kewangan negeri yang turut menghadiri mesyuarat tersebut mencadangkan supaya kerajaan negeri menarik balik segala kemudahan serta bantuan terhadap FAS.

Namun, setiausaha agung FAS ketika itu iaitu Datuk Hamidin Amin berjaya menyelesaikan perkara tersebut dengan diplomasi dan tindakan proaktif yang dilakukan.

Amirudin menegaskan kerajaan negeri tidak pernah bersikap pilih kasih dan bermain politik dalam hal kelangsungan pembangunan sukan di negeri itu.

"Rakyat mengetahui bahawa kerajaan negeri Selangor memainkan peranan penting dalam menaik taraf Stadium Shah Alam untuk kegunaan Sukan SEA ke-19 yang lalu dan bertindak menyalurkan RM600,000 dalam kadar segera demi kegunaan pasukan Harimau Malaya dari perlawanan pertama sehingga mara ke peringkat akhir," katanya.

FAS enggan lepaskan pemain Selangor

Sementara itu, Amirudin berkata, dalam Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) masih terdapat persatuan yang bergabung di bawahnya itu diketuai oleh ahli politik yang berlainan fahaman dengan kerajaan Selangor tetapi masih juga dibantu dan mendapat kerjasama baik.

Jelas Amirudin lagi, perbezaan fahaman politik tidak pernah menjadi agenda dan motivasi kerajaan negeri dalam membangunkan sukan apatah lagi sukan kegemaran ramai iaitu bola sepak.

Seperkara lagi, kata Amiruddin adalah tindakan FAS yang tidak menunjukkan taat setia dan hormat kepada Sultan Selangor apabila bertindak memboikot dan enggan melepaskan beberapa orang pemain Selangor menyertai Pilihan Selangor pada Piala Sultan Selangor 2017.

"Perkara ini amat mendukacitakan kerana FAS harus sedar bahawa betapa kejohanan ini mempunyai nostalgia tersendiri kepada Sultan Selangor dan amat dekat di hati baginda.

"Peristiwa ini menunjukkan sikap FAS yang biadab dan angkuh serta tidak bertimbang rasa tetapi pada masa yang sama merasakan bahawa mereka berhak untuk menuntut diberikan dana kewangan dan meminta penggunaan aset kerajaan negeri," katanya.

Amirudin juga turut memaklumkan bahawa terdapat usaha dari Pejabat Raja Muda Selangor untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan FAS, namun persatuan bola sepak itu tidak melunaskan janji yang diberikan malah tidak memberi respon balas serta bertanggungjawab kepada Raja Muda Selangor.

"Walaupun atas segala tindakan yang dilakukan itu, kerajaan negeri masih memberi peluang kepada FAS untuk menggunakan Stadium Selayang sebagai home ground Pasukan Liga Super Selangor dan Stadium Sepang bagi Pasukan Belia Selangor tahun lalu.

"Kerajaan negeri boleh saja mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menyekat FAS tetapi kami masih mempunyai kepercayaan dan ingin memberi peluang untuk pentadbiran FAS berubah," katanya.

Ahli politik dabik dada

Sementara itu, dalam satu kenyataan pada 25 Januari lalu di laman web faselangor.my, Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim mempersoalkan bahawa kejayaan Selangor menjuarai Piala Malaysia untuk kali ke 33 tidak semestinya atas usaha kerajaan negeri semata-mata.

"Tiada sedikit pun jasa FAS dalam kejuaraan tersebut? Apabila pasukan berjaya maka ahli politik tertentu mendabik dada.

"Tetapi apabila tahun 2016, pasukan tidak menunjukkan prestasi yang baik, setiausaha agung dan bendahari perlu melepaskan jawatan atas alasan exco sukan negeri Selangor kena ikut arahan setiausaha agung dan bendahari dalam membuat keputusan di dalam FAS.

"Adakah exco sukan negeri begitu lemah sehingga perlu mengikut telunjuk setiausaha agung dan bendahari FAS?" soalnya.

Dalam kenyataan itu, Rosman turut menjawab soal tindakan keluar (walkout) dari mesyuarat adalah disebabkan ugutan menteri besar Selangor untuk tidak memberi dana.

"Walaupun perkara mengenai setiausaha agung dan bendahari ada di agenda kelima, jika majoriti exco meminta sesuatu agenda dibincangkan lebih awal maka agenda tersebut perlu dibincangkan.

"Ini adalah persatuan yang mempunyai peraturannya tersendiri. Exco FAS hanya ingin mengetahui sebab kenapa setiausaha agung dan bendahari dipaksa melepaskan jawatan.

"Exco FAS memohon dengan tertib supaya agenda tersebut dibincangkan terlebih dahulu, namun ugutan dari menteri besar Selangor bahawa beliau tidak akan memberikan dana jika exco FAS mahu mengekalkan setiausaha agung dan bendahari adalah titik tolak dalam tindakan ‘walkout’ tersebut," katanya.

Pemecatan ketua jurulatih

Dalam kenyataan sama, Rosman turut membangkitkan beberapa hal dalaman lain termasuk bayaran bonus kepada pemain selain mendakwa FAS tidak pernah dijemput menghadiri sebarang majlis Piala Sultan Selangor 2017.

"Mungkin ada arahan dari pihak ‘atasan’ supaya tidak memanggil pemain pasukan Selangor? Mungkin tiada dana dari kerajaan negeri Selangor jika mengambil pemain pasukan Selangor?" soalnya.

Selain itu, Rosman turut membangkitkan isu berkenaan Kompleks Sukan FAS yang dibangunkan Yayasan FAS dan didakwa diambil daripada mereka.

"FAS ingin bertanyakan kerajaan negeri Selangor mengenai Kompleks Sukan FAS di U15, Puncak Alam yang diambil dari FAS.

"Kompleks Sukan tersebut dibina oleh Yayasan FAS untuk FAS bagi menggantikan Kompleks Sukan FAS di Kelana Jaya yang telah dibangunkan secara komersil oieh Yayasan FAS," katanya.

Berhubung pemecatan ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan pada 2016, Rosman mempersoalkan prosedur pemecatan itu yang menurutnya menyebabkan FAS perlu membayar pampasan.

"Bagaimana pula dengan isu pemecatan ketua jurulatih yang tidak mengikut prosedur dan melalui kenyataan dari Facebook sahaja dan FAS perlu menanggung bayaran pampasan kepada beliau?" katanya.

Kemelut pasukan The Red Giants menjadi hangat apabila skuad pimpinan jurulatih P Maniam itu gagal mendapatkan gelanggang rasmi untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini apabila tidak dibenar beraksi di Stadium Shah Alam dan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai stadium rasmi.

Lihat Komen
ADS