Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FAM: Sampel B kes doping penjaga gol B-23 diuji
Diterbitkan:  Feb 13, 2018 5:11 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Ujian sampel B bagi kes doping membabitkan penjaga gol Bawah-23 (B-23) kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang gagal ujian sampel A sewaktu Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Changsu, China, telah dibuat pada Isnin.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan media hari ini mengesahkan perkara itu apabila Ahmad Syihan Hazmi telah memohon supaya sampel B diuji.

"AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) akan mengambil tindakan lanjut selepas menerima keputusan rasmi ujian sampel B berkenaan dan buat masa ini, Ahmad Syihan Hazmi tidak dibenarkan beraksi bersama pasukan Negeri Sembilan sepanjang tempoh penggantungan sementara 60 hari itu," katanya.

Menurut kenyataan media oleh FAM, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah memutuskan bahawa Ahmad Syihan Hazmi dikatakan bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, perlawanan persahabatan dan perlawanan rasmi.

Berkuat kuasa serta merta, Ahmad Syihan Hazmi telah dilarang beraksi bersama pasukannya, Negeri Sembilan bermula perlawanan kedua Liga Super 2018 bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu (7 Feb) biarpun beliau telah turun beraksi pada perlawanan pertama bertemu PKNP FC pada 3 Feb.

Untuk rekod, Hamidin berkata FAM telah menerima surat daripada AFC pada 6 Feb, menyatakan bahawa Ahmad Syihan Hazmi didapati positif metabolite methandienone, sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Jan. -Bernama

Lihat Komen
ADS