Selepas anak seorang imam Senegal dan pemuda pemurah yang memaafkan perompak keluarganya, Liverpool kini sudah mengikat seorang 'nabi'.
Berasal dari Guinea, Naby Keita kini sedang beraksi di kelab Jerman, RB Leipzig, dan bakal menyarung jersi The Kop tidak lama lagi.
Pengumuman kemasukan Keitaitu dibuat Liverpool pada akhir Ogos tahun lalu selepas mereka mencapai persetujuan dengan RB Leipzig membabitkan bayaran sebanyak £48 juta (RM262 juta) selain premium yang tidak didedahkan.
Keita, 23, akan menyertai Liverpool pada 1 Julai ini.
Seperti kebanyakan pemain dari Afrika, perjalanan hidup Keitabermula dengan jerih. Dia adalah kanak-kanak penjual air di jalanan sebelum bakatnya dikesan dan dikembangkan ke peringkat antarabangsa.
Berikuat adalah beberapa fakta menarik mengenai Keita:
- Tendang apa saja
Bersama si ibu, Miriam, Keita berjaja air minuman di bandar Conakry. Ia adalah ibu negeri Guinea. Keita tidak dibenarkan bermain bola sepak sebelum jualannya dihabiskan.
Menurut cerita Miriam, apa saja objek yang jatuh dari meja jualan mereka, ia pasti akan dijadikan bahan untuk kaki Keita. Ia akan digelecek seumpama bola.
Baca Anak imam sandaran Liverpool
Sejak bermain di Bundesliga, Miriam akan datang ke Jerman melawat Keita sekali setiap tiga bulan.
"Apa saja yang ada di tanah, akan ditendang dan saya akan menghiburkan hati dengannya," cerita Keita.
Akibat ketaasuban itu Miriam juga terpaksa mengeluarkan belanja lebih apabila banyak barang di kedai orang lain pecah.
"Mak saya selalu mengeluh sebab kalau dia membawa saya ke mana-mana, dia terpaksa mengeluarkan wang untuk sebab yang tak sepatutnya," kata Keita.
- Bermula sejak remaja
Kelab pertama disertai Keita ialah Horoya AC. Dia baru berusia sembilan tahun ketika itu. Tujuh tahun kemudian Keita memulakan kelananya untuk melebarkan peluang dalam bola sepak. Dia ke Perancis.
Namun perjalanan Keita bukanlah seperti kisah pari-pari yang penuh dengan keindahan. Dia gagal mendapat tempat di Lorient and Le Mans.

Kata Keita, ia jauh lebih sukar daripada apa yang dibayangkannya.
"Segala-galanya sukar, kecuali bahasa," katanya.
Pengalaman itu ternyata mengecewakan Keita.
"Ia begitu hampir namun tiba-tiba berkecai dan kamu kena bermula dari bawah lagi," katanya.
- Bukan pemain biasa
Bekas rakan sepasukan Keitadi kelab bahagian dua Perancis, Fouad Chafik, menceritakan pengalamannya ketika melihat seorang remaja dari Guinea itu.
"Pemain kelab Istres berlatih pada suatu pagi dan kami nampak dia ada sesuatu yang unik," kata Fouad.
Selepas berpeluang bermain dengan kelab Istres, jangkaan Fouad dan kawan-kawannya menjadi kenyataan. Di kelab itu Keita menjaringkan empat gol selain membuka jalan kepada rakan sepasukan menggegarkan gawang lawan sebanyak sembilan kali dalam 22 perlawanan.
- Berhijrah ke Austria
Semusim berlalu Keita mencuba nasib ke negara lain. Destinasinya ialah kelab juara Austria, Salzburg.
Bersama Salzburg Keita - yang bermain di bahagian tengah - membantu kela itu melangkah agak jauh dalam saingan Liga Europa.
- Diimpikan bagai Deco
Di media sosial nama penuh Keita ditambah "Deco". Justeru dia dikenali sebagai Keita Deco Keita - bersempena bintang bola sepak antarabangsa Brazil dan Barcelona.
Dia diberi gelaran itu antaranya kerana ketinggian yang lebih kurang sama dengan Deco, selain corak permainan Keita mengingatkan ramai kepada bintang terbabit.
Keita juga meminati Deco dan berangan-angan menyarung jersi Barcelona.
- Comel macam koala
Salah seorang watak yang bertanggungjawab membawa Keita jauh ke dalam dunia bola sepak ialah Pengarah Kesukanan Leipzig, Ralf Rangnick.
Rangnick yang pernah menjadi pengurus Schalke pergi ke Perancis untuk membawa Keita ke kelab Salzburg dan hubungan mereka mula menjadi begitu akrab.
"Rangnick kata, saya macam koala yang membuat dia rasa mahu memeluk saya. Dia memang selalu peluk saya," katanya.
Namun pada awal dulu Keitasendiri tidak tahu apakah atau bagaimana rupa seekor koala.
"Sebenarnya saya sendiri takut binatang. Di Guinea ada banyak binatang berbahaya," katanya.
- Pernah ditolak banyak kelab
Keita dikenali dengan peranannya yang cukup berkesan di bahagian tengah. Jasa Keita di Bundesliga menjadi bukti bakat yang ada pada dia.
Ketua Jurulatih Guinea, Michel Dussuyer, berkata dia hairan bagaimana banyak kelab di Perancis gagal mengesan potensi yang ada pada Keita ketika awal-awal kedatangannya ke negara itu dulu.
"Jika bola ada di kaki Naby, dia sangat berbahaya. Kamu boleh nampak betapa gilanya dia bersama bola," katanya.
Antara perlawanan yang meninggalkan kesan kepada Ketua Jurulatih Leipzig, Ralph Hasenhuttl, ialah ketika mereka berdepan - dan mengalahkan -- Werder Bremen pada musim lalu.
Daripada tiga gol yang dijaringkan Keita menyumbang dua daripadanya.
- Bersahabat dengan Mane
Kedatangan Keita ke Salzburg juga menandakan permulaan hubungan akrabnya dengan Mane.
"Dia membantu saya dalam semua perkara - bahasa, berkenalan dengan kawan baru, mengenali kelab dan sebagainya," kata Keita yang tiga tahun lebih muda berbanding Mane.

Lebih daripada itu Keita menganggap Mane sebagai abang.
"Mane selalu memberi galakan kepada saya, dan mengajar banyak benda baru. Dia suri teladan saya," katanya.
Bersama Liverpool pada musim depan, Keita diberi jersi nombor lapan. Dan ia sesuatu yang signifikan kerana nombor itu sebelum ini dipakai legenda kelab berkenaan, Steven Gerrard.
Bekas presiden kelab Santoba FC Malick Kebe berkata Liverpool bukan semudah itu memberikan jersi nombor lapan kepada pemain sembarangan.
"Mereka memberikannya kepada Keita kerana dia memang berhak," katanya.
