Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penubuhan sebuah akademi taekwando bagi memperluaskan lagi aktiviti sukan itu di negara ini.
Menurut Najib, sukan taekwando telah lama bertapak di negara ini sehingga Malaysia dikenali kerana komitmennya mengangkat seni mempertahankan diri itu di rantau Asia Tenggara.
"Saya dengan bangga mengumumkan bahawa hubungan simbiotik antara Malaysia dan Persekutuan Taekwondo Dunia telah membawa kepada penubuhkan Akademi Taekwondo di Malaysia," katanya dalam ucaptama merasmikan Kejohanan Terbuka Malaysia Taekwondo Dunia di perkarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Hadir sama dalam majlis itu adalah Presiden Persekutuan Taekwondo Dunia, Choue Chung-won dan Presiden Taekwondo Malaysia, Datuk Seri S. A Vigneswaran dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pada majlis tersebut Najib turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Persatuan Taekwondo Malaysia.
Menurut Najib, taekwondo lebih daripada sekadar seni mempertahankan diri kerana ia turut memupuk nilai-nilai murni seperti sikap saling menghormati dan ketekunan.
"Inilah sifat-sifat yang saya ingin lihat dalam generasi muda masa kini dan masa depan di negara ini.
"Marilah kita mengetepikan perbezaan antara kita dan memainkan peranan kita, sebagai olahragawan sejati, dalam membina budaya penyayang dan masyarakat penyayang yang sangat penting untuk mencapai Malaysia yang bersatu padu dan harmoni," kata Najib di hadapan lebih 1,000 ahli taekwondo.
Dalam pada itu, Najib turut berharap agar atlet taekwondo negara bersiap sedia bagi menghadapi Sukan Olimpik Dunia di Tokyo dan berharap mereka berpeluang memenangi pingat emas dalam kategori itu kelak.
"Saya diberitahu bahawa ada 8 pingat emas untuk dimenangi dalam acara taekwondo, jadi saya harap atlet-atlet kita bersedia untuk merangkul pingat emas dalam acara taekwondo," jelasnya.
