Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Mengundang kecaman sesetengah pihak hari ini kerajaan mengumumkan siaran langsung bagi kejohanan Piala Dunia 2018 di RTM tidak akan ditanggung kosnya oleh Putrajaya.

Menyatakan perkara itu Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari berkata kerajaan mendapat tajaan mencukupi bagi menampung kos RM30 juta bagi siaran berkenaan.

"Sekarang kos untuk siaran langsung itu (di pihak kerajaan) ialah sifar.

"Kosnya sudah ditaja sepenuhnya dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan mengumumkan perkara ini tidak lama lagi.

"Kita tidak akan membayar satu sen pun untuk siaran berkenaan," katanya kepada Malaysiakini.

Walaupun RTM ialah stesen penyiaran milik kerajaan, pihak penaja akan membayar kadar iklan yang sedikit tinggi berbanding harga biasa dan langkah itu dianggap sebagai sumbangan kepada negara.

Lim berkata beliau dihujani pertanyaan mengapa penaja terbabit tidak menyalurkan sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Keberatan pada awalnya

Katanya dana yang diberi untuk penajaan siaran Piala Dunia ada perbezaan berbanding derma kepada tabung berkenaan.

Melalui penajaan, kata anggota parlimen Bagan itu, penaja memperoleh sedikit faedah kerana dapat menayangkan iklan mereka.

"Ada perbezaan besar. Melalui penajaan pihak yang berkenaan mendapat iklan pada sepanjang tempoh pertandingan berlangsung. Jadi sekurang-kurangnya mereka mendapat sedikit pulangan," katanya.

Menurut Lim orang ramai perlu faham sebagai syarikat yang berniaga penaja perlukan pulangan daripada pelaburan yang dibuat.

Lim juga menjelaskan pada awalnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agak keberatan untuk menerima idea menayangkan Piala Dunia di RTM ekoran keadaan kewangan negara yang tidak memberangsangkan.

"Tetapi selepas diberi penjelasan bahawa kejohanan itu hanya berlangsung setiap empat tahun dan siaran di RTM akan membolehkan masyarakat menontonnya secara percuma, beliau akhirnya bersetuju," katanya.

Kejohanan paling berprestij untuk sukan bola sepak itu akan berlangsung di Rusia mulai 14 Jun ini sehingga 15 Julai.

Asalnya perlawanan tersebut hanya ditayangkan secara langsung melalui saluran berbayar Astro. Bagaimanapun kerajaan Pakatan Harapan mengambil inisiatif membawa sebahagian daripada perlawanan itu secara langsung di RTM, manakala selebihnya adalah tayangan tertunda.

Dana RM30 juta itu akan digunakan untuk membeli hak penyiaran bagi 41 daripada 64 perlawanan dengan 27 adalah secara langsung.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS