Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan kejayaan seseorang pemain banyak bergantung kepada kemahuan dan semangat diri sendiri walaupun pelbagai kepakaran serta kemudahan yang diberikan kepada pemain kebangsaan.

Sehingga saat ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak pernah berputus asa memastikan negara tidak ketandusan pemain perseorangan lelaki terutamanya dalam mengilap bakat setanding Chong Wei pada masa depan.

Pelbagai kemudahan disediakan seperti Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, yang dilengkapi dengan kemudahan sains sukan termasuk barisan jurulatih yang terbaik diberikan kepada pemain.

Chong Wei berkata, barisan pelapis seperti Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Leong Jun Hao merupakan antara generasi baru pemain berbakat besar, namun jika mereka tidak mempunyai misi dan visi dalam karier badminton segala kelebihan yang ada akan sia-sia.

Pemenang pingat perak sebanyak tiga kali di Sukan Olimpik itu mengambil contoh Zii Jia, 20 tahun, yang mempunyai kelebihan fizikal seperti ketinggian 186 sentimeter dan dilihat mempunyai masa depan cerah sekiranya pemain itu bersungguh-sungguh fokus dalam sukan itu.

“Mana-mana pemain yang berkerja keras dalam latihan serta rajin mengkaji teknik permainan pemain senior serta pemain hebat seusia mereka, saya yakin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi pemain muda ini boleh berada dalam kalangan 10 pemain terbaik dunia.

“Beri mereka masa. Saya tahu pemain muda ini tahu apa yang mereka mahu dalam karier badminton. Badminton adalah sukan berkemahiran. Kalau pemain ada skil, bakat dan paling penting perlu kerja keras, mereka boleh berjaya,” katanya ketika ditemuinya baru-baru ini selepas menjalani latihan di ABM.

Berdasarkan ranking dunia dikemas kini setakat 31 Mei lalu, jurang perbezaan kedudukan Chong Wei yang menduduki tangga ketujuh dunia dengan pemain naungan BAM, Zii Jia di ranking ke-45 begitu ketara jauh, manakala Joo Ven (59) dan Jun Hao (77) (gambar).

Berkongsi tentang dirinya yang masih digeruni oleh pemain terkemuka dunia walaupun sudah berusia 36 tahun, Chong Wei berkata beliau adalah seorang pemain yang akan beraksi habis-habisan dalam semua perlawanan tanpa mengambil kira soal menang atau kalah.

“Daripada dulu lagi, saya sudah diajar dalam perlawanan, saya perlu bermain habis-habisan. Jangan terlalu fikir soal sasaran, memang semua pihak meletakkan harapan tinggi tetapi kita sebagai pemain perlu bermain bersungguh-sungguh.

“keputusan menang atau kalah itu kemudian. Saya sudah biasa dengan kritikan, menang atau kalah pasti ada kritikan,” jelasnya.

Jangan tengok saja

Chong Wei berkata pemain muda sepatutnya berasa bertuah kerana seawal usia 19 tahun sudah terpilih mewakili pasukan Piala Thomas dan diturunkan beraksi menentang pemain hebat dari Denmark, Jepun dan Indonesia.

Mula menyertai skuad Piala Thomas pada usia 19 tahun dan hanya duduk di tempat penonton melihat pemain senior beraksi menentang pasukan lawan, Chong Wei mengambil kesempatan mengkaji skil yang ditunjukkan oleh pemain hebat ketika itu dan bukan hanya sekadar menonton perlawanan.

Chong Wei berkata pemain muda yang tidak diturunkan ketika Piala Thomas perlu belajar teknik dan trend baru sukan badminton menerusi aksi-aksi hebat di Bangkok baru-baru ini.

“Mereka perlu sedar, pemain muda seperti Viktor Axelsen, Kento Momota, serta ramai lagi pemain muda dari Denmark, Jepun, Indonesia, China adalah pencabar mereka, jadi lihat siapa pesaing kamu dan jadi lebih baik daripada mereka,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS