Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Harap tuah rendaman ais, doa dan cara pakai kasut
Diterbitkan:  Jul 11, 2018 10:56 PM
Dikemaskini: 3:24 PM

PIALA DUNIA 2018 | Selain gerakan taktikal yang mantap dan kecergasan di tahap tertinggi England mungkin perlu bersandar kepada 'tuah' daripada ritual salah seorang pemainnya, Dele Alli.

Dan ia bukan sesuatu yang baru buat pemain tengah Tottenham Hotspur.

Dia sudah melakukan ritual khusus yang dilakukannya sejak 11 tahun lalu, iaitu merendam dirinya dalam ais selama lapan minit pada malam sebelum perlawanan penting.

Dia kemudian akan memakai kasut dengan kaki kanan terlebih dulu sebelum kiri, dan berdoa. Kandungan doanya juga sama: dia memohon diberi kekuatan untuk menjaringkan gol dan pasukan diwakilinya menang.

"Orang lain boleh cakap apa saja, tapi saya akan tetap melakukan amalan ini," katanya yang kini berusia 22 tahun.

Cuma untuk perlawanan getir menentang Croatia awal pagi nanti, lapor media antarabangsa, Alli akan menambah sedikit harapan dalam doanya.

Dia berhajat diberi kesempatan mengaibkan pemain penting Croatia, Luka Modric.

Hajat itu berpunca daripada insiden yang berlaku tiga tahun lalu. Semasa itu Alli mewakili kelabnya menentang Real Madrid dalam perlawanan pramusim.

Bertempat di Allianz Arena di Munich, Jerman, Modric mengelirukan Alli dengan gerakan licik meloloskan bola di antara kedua kakinya.

Gerakan itu - digelar jurus nutmet dalam sukan - benar-benar mencalar maruah Alli. Ekoran insiden itu Modric sempat menggelar Alli sebagai "little bugger".

"Saya masih ingat kejadian itu. Kalau saya dapat membalasnya tentu sangat memuaskan," kata Alli.

Sementara itu Alli memang yakin benar ritual yang dilakukannya boleh membawa pengaruh besar kepada pasukan.

Dia dilaporkan pernah mengetepikan ritual tersebut sebelum melawan Tunisia di peringkat kumpulan. Alli digantikan dengan pemain lain pada minit ke-80.

England akan bertemu Croatia pada jam 2 pagi ini (waktu Malaysia) di Stadium Luzhniki, Moscow.

Kali terakhir England berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir Piala Dunia ialah pada 1990. Dua puluh lapan tahun lalu Piala Dunia dilangsungkan di Itali dan langkah skuad The Three Lions itu digagalkan pasukan Jerman Barat melalui tendangan penalti.

Lihat Komen
ADS