Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 9 Jun 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia melancarkan dasar 1 Murid 1 Sukan dengan tujuan melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dasar itu dilancarkan dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penduduk Malaysia juga diharap dapat memupuk budaya bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas bermula dari zaman persekolahan.

Pelaksanaan dasar itu antaranya memerlukan pihak sekolah membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran sedia ada, mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan sukan dan memastikan aktiviti dijalankan sepanjang tahun.

Mengembalikan kecemerlangan sukan sekolah di seluruh negara dengan penyertaan menyeluruh semua murid dalam kegiatan sukan adalah perlu bagi membangunkan modal insan cergas.

Setiap murid diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya aktiviti sukan di sekolah sepanjang tahun.

Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.

Tujuan dasar 1 Murid 1 Sukan

Di bawah Sukan Untuk Semua ia sangat penting untuk membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan semua murid.

Sukan Untuk Kecemerlangan pula menyasarkan prestasi murid yang berbakat dan berpotensi supaya terus dibangunkan mengikut program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah.

Pada asasnya dasar 1 Murid 1 Sukan adalah bertujuan:

  1. Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh daripada kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun bagi membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan.
  2. Memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas serta tidak mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian.
  3. Memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
  4. Memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal.
  5. Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan dan memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.

Pada 2012, sekumpulan 650 guru Malaysia pertama dipilih untuk julung kalinya melengkapkan program Diploma Antarabangsa Akademi Pendidikan Sukan Jasmani (IDPESS) dan menerima diploma mereka pada hari 19 Okt 2013 di Balai Budaya Tun Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Program IDPESS direka untuk membantu individu membangunkan asas kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam pembangunan, pendidikan jasmani, pengurusan, kecergasan dan disiplin yang berkaitan dengan sukan lain.

Program diploma yang merangkumi 10 program kursus tersebut diluluskan pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan ia setaraf Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 3).

Dengan upacara konvokesyen tersebut, tahun kedua program sukan terus dijalankan dengan melatih lebih 1,000 guru pendidikan jasmani dan guru berpotensi dalam sukan bagi membantu negara meningkatkan sukan belia, antara faedah lain.

Memperkasa semula dasar

Kumpulan berikutnya berjaya memperolehi diploma mereka pada 6 Mac 2014.

Kumpulan graduan terakhir Diploma Antarabangsa dalam Pendidikan Jasmani dan Kejurulatihan Sukan (IDPESC) telah menerima Diploma mereka pada 3 Dis 2015 di Kuala Lumpur.

Sejak program itu bermula pada 2012, jumlah keseluruhan guru yang terlatih dan berkelayakan itu ialah berjumlah 2,200 orang.

Kumpulan graduan itu diharapkan dapat membantu dan meneruskan meningkatkan kehidupan puluhan ribu pelajar di bawah pengaruh mereka.

Namun begitu, selepas peralihan kuasa berlaku dalam senario politik tanah air, program ini menjadi kaku dan seolah-olah tidak berfungsi.

Para guru yang dilatih tidak dilihat dapat membantu menyumbang ke arah kecemerlangan yang diharapkan.

Tentu sekali peruntukan dan perbelanjaan kewangan bagi menampung program antarabangsa ini melibatkan jutaan ringgit. Tenaga , usaha dan masa yang dicurahkan untuk menjayakan program itu semacam sia-sia.

Kini peralihan kuasa dan senario politik yang baru - dengan "harapan" yang baru - peneraju yang satu ketika pernah berada dalam pembinaan dan pembangunan program asas kembali semula.

Dengan semangat, pengemblengan, permuafakatan dan harapan baru seharusnya program ini dijelmakan semula bagi memperkasakan Dasar Sukan Negara yang kini sudah ketinggalan dalam banyak aspek.

Kelebihan yang dirangka untuk memberi banyak peluang dan galakan kepada murid-murid di negara kita haruslah dilaksanakan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai.

Kita tidak harus bersikap sambil lewa, bak kata pepatah, sekadar melepaskan batuk di tangga. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti.


AZIZI AHMAD ialah seorang pendidik dan USSA Master Trainer.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS