Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Via Ferrata cabaran baru sukan lasak di Gunung Stong

Selain cabaran mendaki ke puncak Gunung Ayam, Kem Baha atau Gunung Stong, peminat sukan lasak kini berpeluang merasai cabaran baru melalui trek Via Ferrata di Gua Ikan, Hutan Negeri Stong yang terletak di Jajahan Dabong, Kuala Krai.

Trek sepanjang 155 meter itu merupakan lokasi ketiga aktiviti berjalan di lereng gunung yang tersedia di Malaysia hasil usaha Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Kelantan.

Pengarahnya Motac Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud berkata pihaknya memperkenalkan aktiviti tersebut sejak Oktober tahun lalu sebagai usaha mempromosikan bidang pelancongan di Kelantan.

"Aktiviti Via Ferrata ini menjadi tarikan baru bagi peminat sukan lasak termasuk di kalangan pelancong asing.

"Dengan pembinaan laluan untuk sukan ekstrem di Gua Ikan ini, ia menjadi lokasi ketiga selepas Gunung Kinabalu dan Paya Gunung di Pahang, manakala laluannya melibatkan jarak lereng 155 meter dan ketinggian 150 meter.

"Kami juga mengambil langkah keselamatan yang teliti dalam pengendalian aktiviti ini dengan kerjasama Persatuan Malim Gunung Kelantan," katanya.

Mohd Aidil berkata demikian ketika ditemui pada program Kursus Ekopelancongan Kelantan yang berlangsung di Hutan Negeri Jelawang.

Kursus selama tiga hari yang berakhir semalam itu dianjurkan Motac, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) melibatkan penyertaan seramai 35 orang.

Turut serta pada program itu, Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood dan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin.

Sepanjang tempoh kursus tersebut peserta turut berpeluang melakukan aktiviti memanjat gua batu kapur yang juga baru diperkenalkan di lokasi sama, selain mendaki ke puncak Kem Baha serta mempelajari selok-belok keselamatan di hutan.

Sementara itu Nazili berkata, penganjuran kursus tersebut memberi pendedahan baru kepada peserta termasuk memahami tugas dan cabaran anggota bomba semasa membuat kerja-kerja menyelamat di gunung dan hutan.

Menurutnya, tugas penyelamatan di gunung adalah cabaran berat perlu dihadapi seseorang anggota bomba kerana ia melibatkan mangsa yang terperangkap, tercedera atau melibatkan kemalangan jiwa.

"Ia memerlukan kemahiran khusus seperti mendaki tebing tinggi, pertolongan cemas dan cara hidup di hutan (jungle survival).

"Sebagai anggota penyelamat, kami perlu sentiasa bersedia dalam aspek fizikal, mental dan kemahiran tinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Lihat Komen
ADS