Kafa minta pemain belum terima gaji jumpa pengurusan

       

Pemain Kelantan yang menghadapi masalah bayaran gaji diminta menemui pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menyelesaikan perkara itu, kata Presiden Kafa Bibi Ramjani Ilias Khan.

Beliau berkata mungkin terdapat beberapa perkara menyebabkan timbul isu pembayaran gaji dan pihak pengurusan bersedia untuk memberi penjelasan kepada pemain terbabit.

"Yang masih belum menerima gaji mungkin ada arahan pemotongan gaji atau lain-lain perkara seperti tertakluk dalam penjanjian kontrak sebelum ini setelah beberapa surat amaran diberikan, jadi lebih baik mereka (pemain) berjumpa dengan pengurusan KAFA sekurang-kurangnya mereka tahu kenapa dan mengapa, bukan hanya keluarkan kenyataan dalam media sosial atau mana-mana media," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bibi Ramjani berkata, mana-mana pemain yang memuat naik status rasa tidak puas hati dalam media sosial atau mana-mana media hanya akan memburukkan lagi keadaan.

"Jadi yang mana tercicir atau tidak dapat gaji lagi, jawapan ada pada KAFA, datanglah berjumpa dengan pihak pengurusan untuk sama-sama menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dan bukannya ditularkan dalam media sosial.

"Jika majikan harus patuh kontrak, maka tidak salah pemain juga perlu menghormati kontrak jangan letakkan semua kesalahan kepada majikan kerana dalam kontrak ada ketika pemain tidak boleh membuat kenyataan tanpa kebenaran majikan," katanya.

Beliau mengesyaki terdapat pihak yang sengaja mencipta isu berkaitan pembayaran gaji walaupun secara hakikat pemain sendiri tidak terlibat dengan perkara itu, semata-mata bagi memberi tekanan kepada pihak pengurusan KAFA.

"Saya mendapat maklumat ada satu kumpulan merancang untuk memberi tekanan dan bebanan kepada pihak pengurusan KAFA dalam situasi sekarang ini," katanya.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.