Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pemain bola keranjang Jepun 'terlanjur' di Jakarta
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 6:52 PM
Dikemaskini: 12:28 PM

SUKAN ASIA | Baru dua hari temasya Sukan Asia berlangsung, empat atlet dari Jepun sudah dihantar pulang gara-gara disyaki melanggan pelacur di Jakarta.

Keputusan itu diumum Ketua Delegasi Jepun, Yasuhiro Yamashita, pada sidang media di ibu negara Indonesia itu hari ini.

Kata Yamashita atlet bola keranjang itu ditemui di kawasan pelacuran di Jakarta beberapa jam selepas pasukan itu mengalahkan Qatar di gelanggang.

Perlawanan tersebut berakhir dengan jaringan 82-71.

Semasa ditemukan, kata Yamashita keempat-empat pemain terbabit masih mengenakan jersi pasukan Jepun.

"Mereka sudah diterbangkan pulang pada awal pagi ini," katanya.

Difahamkan asalnya mereka meninggalkan petempatan atlet di Jakarta kira-kira jam 10 malam (waktu tempatan) dengan alasan mahu menikmati makan malam di kawasan Blok M.

Selepas itu mereka didekati seorang bapa ayam yang menawarkan pelacur untuk mereka. Selepas berunding mereka bersetuju dengan tawaran lelaki terbabit dan pergi ke sebuah hotel tidak jauh dari situ.

Tak bercadang ganti

Kata Yamashita langkah menghantar pemain bola keranjang itu balik sesuai dengan peraturan yang dikuatkuasakan Jepun terhadap seseorang yang melanggar disiplin.

"Saya sangat malu dan meminta maaf kepada semua, terutama rakyat Jepun atas sikap atlet terbabit," katanya.

Pengurus skuad bola keranjang Jepun, Yoko Mitsuya, pula berjanji tindakan tegas akan diambil selepas semua bukti diperolehi.

"Kami akan memastikan tiada lagi kejadian seumpama ini berulang," katanya.

Menurut Mitsuya, untuk cabaran seterusnya Jepun akan bergantung kepada lapan pemain yang masih ada di Jakarta.

Katanya Jepun tidak bercadang memanggil pemain lain bagi mengisi kekosongan yang berlaku akibat tindakan mereka menghantar pulang atlet berkenaan.

Untuk rekod pada Sukan Asia sebelum ini Jepun menghantar pulang seorang atletnya kerana masalah disiplin.

Perenang kebangsaan negara itu Naoya Tomita didakwa merampas kamera milik wartawan ketika temasya itu berlangsung di Incheo, Korea Selatan empat tahun lalu.

Lihat Komen
ADS