Ratu Skuasy Malaysia, Datuk Nicol David mendapat hadiah hari jadi yang tepat buat dirinya apabila memenangi pingat emas dalam acara perseorangan wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Stadium Skuasy, Gelora Bung Karno, di Jakarta hari ini.
Pemain nombor sembilan dunia yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-35 hari ini, diasak semaksimum mungkin oleh pemain remaja kebangsaan, S Sivasangari sebelum memenangi perlawanan lima set yang sengit dengan keputusan 11-13, 11-9, 5-11, 11-6 dan 11-8.
Kemenangan Nicol hari ini, menyumbang pingat emas kedua buat negara, selepas emas sulung diperoleh menerusi acara boling trio wanita pada 22 Ogos lepas.
Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan, Nicol berkata beliau gembira dengan pingat emas kelima individu Sukan Asia yang diperolehnya hari ini.
Beliau memenangi empat pingat emas Sukan Asia, pada edisi 1998, 2006, 2010 dan 2014 dan pingat perak pada edisi 2002 di Busan Korea Selatan selepas tewas kepada Rebecca Chiu dari Hong Kong.
“Saya tahu perlawanan hari ini adalah sukar, memandangkan Sivasangari menewaskan dua pemain ranking teratas dalam kemaraannya ke final,” katanya.
“Selepas tiga set, saya tahu saya terpaksa menggunakan kesemua pengalaman saya dan memperbaiki permainan dalam dua set terakhir untuk memastikan kemenangan,” kata Nicol sambil menambah ini adalah Sukan Asia terakhir beliau sejak beraksi di Sukan Asia Bangkok 1998.
Bagaimanapun, anak kelahiran Pulau Pinang itu gembira melihat lebih banyak pemain remaja Malaysia menyerlahkan kehebatan mereka di persada antarabangsa, terutamanya di Sukan Asia.
Malaysia memperoleh satu pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki selepas Mohd Nafiizwan Adnan tewas kepada Max Lee dari Hong Kong dalam perlawanan separuh akhir semalam.
Skuad negara akan terus memburu pingat dalam kedua-dua acara berpasukan lelaki dan wanita yang bermula esok.
Untuk rekod, Malaysia memenangi pingat emas dalam acara berpasukan wanita dua edisi berturut-turut, iaitu 2010 dan 2014 sementara berpasukan lelaki memperoleh perak pada edisi 2010 dan 2014.
- Bernama
