Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tony Hawk, Pa'din mahu Fatin terus bermain papan selaju
Diterbitkan:  Sep 1, 2018 4:52 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Atlet wanita negara bagi acara papan selaju, Fatin Syahirah Roszizi terus mendapat sokongan dan kata-kata semangat selepas pengguna media sosial mengecamnya susulan aksinya di Sukan Asia baru-baru ini.

Sokongan yang diterima Fatin termasuklah daripada legenda di dalam dan luar negara bagi acara itu.

"Jika saya dengar kata-kata pengecam dalam hidup saya, saya sudah lama berhenti bermain papan selaju," kata legenda acara papan selaju, Tony Hawk di ruangan komen akaun Instagram, Fatin.

Kata-kata itu diberikan kepada Fatin selepas atlet wanita itu dikecam pengguna media sosial sehingga dia terpaksa memadam semua perkongsian gambar di akaun Instagramya dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Gadis 16 tahun itu sebelum ini diperlekeh susulan aksinya di Sukan Asia 2018 di Indonesia yang menyaksikannya berada di tempat tercorot bagi kategori wanita.

Bagaimanapun, pelbagai personaliti tampil memberikan dorongan kepada Fatin agar tidak berputus asa.

"Jangan putus asa! Mereka (pengecam) hanya menunjukkan rasa tidak yakin diri mereka sendiri kerana mereka harap mereka ada keberanian untuk mengejar impian sendiri. Kamu boleh menjadi inspirasi kepada generasi baru pemain papan selaju di Malaysia," kata Hawk lagi.

Ikon papan selaju yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang, Pa'din Musa pula berkongsi kiriman khas yang didedikasi kepada Fatin melalui akaun Instagramnya.

Pa'din yang sudah banyak kali mewakili negara di peringkat antarabangsa dalam acara papan selaju berkongsi gambar Fatin di Sukan Asia dengan diikuti keterangan: "Ini adalah saat di mana skateboarder tu rasa macam takdak kaki sampailah ke trick yang pertama.

"Lagi hebat rasa nervous ni apabila telah meningkat usia dan juga di pertandingan yang lebih besaq. Semoga family Fatin dan member2 akan terus memberi sokongan padu pada Fatin dan Fatin akan terus skate demi skateboarding dan keseronokannya. Skateboarding mengajar kita erti kegagalan. Maju terus skateboarding Malaysia".

Pa'din memenangi pingat emas dalam kategori X-Games Asia di Phuket pada 2000 dan kemudiannya di kuala Lumpur pada 2004.

 

 

Dalam perkembangan sama, penyanyi Malaysia yang mencipta nama di luar negara, Yuna tidak ketinggalan memberikan kata-kata motivasi kepada Fatin: "Tak ada yang lebih membanggakan menyaksikan gadis 16 tahun mewakili negara dalam acara sukan.

"Ramai yang mengecam di luar sana tapi mereka bukan yang menentukan apa yang harus kamu lakukan. Cabaran hadir dalam hidup supaya kamu boleh bangkit, dan jadi lebih kuat dan lebih baik," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini juga turut ketinggalan memberikan dorongan kepada Fatin.

"Jika ada pihak yang patut dikritik, kritiklah kementerian dan persatuan, bukan Fatin.

"Rakyat Malaysia, kita jauh lebih baik daripada ini," katanya di Facebook.

Dalam temu bual portal berita mStar Online sebelum ini, Fatin berkata kegagalannya menyinar di Palembang berpunca daripada kesan kecederaan dialaminya baru-baru ini.

Kata Fatin bulan lalu dia menjalani latihan di salah satu bandar raya yang menjadi tuan rumah Sukan Asia kali ini.

"Ketika itu, saya terjatuh dan mengalami kecederaan ligamen pada buku lali kaki kiri.

"Nak jalan pun sakit, orang mana tahu...," katanya dipetik mStar Online.

Selain Fatin skuad papan selaju negara turut diwakili tiga atlet lain iaitu Yaziru Amiru Dasyir Zainordin, Ian Nuriman Amri dan Christina Lai Grace.

Pingat emas acara itu dimenangi wakil Filipina, Margielyn Didal, diikuti Kaya Isa (Jepun) di tempat kedua dan Bunga Nyima (Indonesia) yang mendapat pingat gangsa.

Lihat Komen
ADS