Selepas dibebaskan Julai lalu, aktivis Palestin Ahed Tamimi diraikan masyarakat dunia sebagai simbol penentangan rakyat Palestin terhadap tentera Israel.
Terbaru, Ahed yang sedang dalam siri menjelajah Eropah bagi program politik, diraikan kelab bola sepak gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Ditemani ayahnya, Basim Tamimi, mereka dijemput ke stadium Santiago Bernabeu di ibu kota negara itu.
Kehadiran mereka disambut oleh bekas penyerang Real Madrid Emilio Butragueno yang menyerahkan jersey khas untuk Ahed.
Gadis 17 tahun itu ditahan Disember tahun lalu selepas klip video memaparkannya melawan dua tentera Israel di luar rumahnya di kawasan Semenanjung Gaza tular.
Penahanannya mendapat perhatian antarabangsa.
Susulan itu, jurucakap Menteri Luar Israel, Emmanuel Nahson, melalui kenyataan di Twitter mengecam keputusan Real Madrid untuk menjemput Ahed dan menyifatkannya sebagai "memalukan".
"Real Madrid menjemput pengganas yang mencetuskan kebencian dan keganasan. Apa kaitan perkara itu dengan bola sepak?" katanya.
Malah, duta Israel di Sepanyol, Daniel Kutner turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kelab bola sepak Real Madrid, dan menyifatkannya sebagai menggalakkan keganasan.
Sementara itu, penulis Palestin, Razy Baroud yang menulis kepada Al Jazeera menggambarkan Ahed sebagai "simbol generasi muda Palestin yang memberontak".
"Selepas lapan bulan di dalam penjara kerana berdepan dengan tentera Israel di depan rumahnya, Ahed tampil lebih kuat dan bertekad tinggi untuk menyampaikan kesengsaraan dan perjuangan bangsanya kepada dunia," katanya dipetik Al Jazeera.
Although I am Barcelona fan but thanks @realmadriden for welcoming Ahed Tamimi pic.twitter.com/6iNzcOw3J1
— Satar (@Satar_Gaza) September 29, 2018
