Sukan Para Asia 2018: Malaysia raih tujuh emas

       

Malaysia akhirnya berjaya meraih kilauan emas pada Sukan Para Asia 2018, menggondol tujuh emas hari ini untuk menduduki tangga ketujuh dalam senarai kedudukan pingat setakat hari keempat temasya sukan itu.

Atlet Siti Noor Lasah meraih pingat emas pertama negara menerusi acara 400m T20, sebelum Nasharuddin Mohamed turut meraih emas bagi acara sama untuk kategori lelaki.

Bagai mendapat suntikan semangat daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sempat menjenguk para atlet di Kompleks Sukan Gelora Bung Karno sekalipun padat dengan jadual dalam rangka kerja seharinya ke Jakarta, kontinjen Malaysia kemudiannya meraih lima lagi emas dalam acara basikal, atletik dan tenpin boling.

Pelumba basikal para negara, Nur Azlia Mohd Zaid meraih emas bagi acara lebuh raya kategori B, manakala Zuhairie Ahmad Tarmizi meraih emas untuk acara perlumbaan lebuh raya kategori C5 Lelaki yang berlangsung di Sentul, Bogor.

Malaysia turut meraih emas menerusi Abu Bakar Nyat bagi acara Perseorangan Campuran TPB9 tenpin boling dan menerusi jaguh paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Fuzi meraih emas bagi acara lari 100m T36 serta jaguh paralimpik, Mohd Latif Romly dalam acara lompat jauh kategori T20.

Wan Azizah ketika berucap ringkas dalam menyemarakkan semangat Malaysia Boleh! kepada atlet Malaysia berharap mereka terus berusaha kuat bagi mencapai sasaran 15 pingat, jumlah sama yang dimenangi Malaysia pada Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Hari keempat Sukan Para Asia 2018 itu hari ini, Malaysia turut meraih dua lagi pingat perak dan lapan gangsa, dan kini memungut 7 emas, 8 perak dan 12 gangsa, dengan China terus mengungguli di kedudukan pertama dengan 77 emas, 33 perak dan 29 gangsa.

Sukan Para Asia yang dirasmikan Presiden Indonesia Joko Widodo pada 6 Okt, berlangsung sehingga 13 Okt ini disertai 43 negara.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.