Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Mohammad Salman Saudi mahu beli 'Syaitan Merah'
Diterbitkan:  Oct 22, 2018 5:51 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Ketika namanya 'menggelegak' dalam skandal pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, tokoh yang sangat berpengaruh di Arab Saudi ketika ini Mohammad Salman turut dikaitkan dengan kemeriahan Liga Perdana Inggeris.

Mohammad yang lebih dikenali dengan gelaran MBS itu didakwa sedang bersiap sedia membeli kelab Syaitan Merah daripada pemilik sekarang, Joel dan Avram Glazer.

Media melaporkan MBS menawarkan harga £4 bilion (RM21.7 bilion) untuk memiliki Manchester United.

Ia bukanlah menghairankan kerana banyak pihak menganggarkan harta MBS ketika ini ialah £850 bilion.

Akhbar Mirror melaporkan MBS berharap dapat bertemu pasangan adik-beradik Glazer itu dalam tempoh seminggu dua ini.

Pada masa sama mereka dilaporkan akan terbang ke Riyadh pada minggu ini bagi menghadiri sebuah forum antarabangsa.

Di sebalik khabar angin yang semakin kencang itu, media melaporkan adik-beradik Glazer terpaksa berhati-hati dengan tawaran putera mahkota dari Arab Saudi itu kerana keadaan semasa yang menyaksikan berlaku ketegangan diplomatik di antara Riyadh dan negara luar.

Untuk rekod Jamal, 59, ialah wartawan kelahiran Madinah, Arab Saudi yang menjadi pengkritik tegar keluarga bangsawan negara terbabit.

Dia berkunjung ke bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Okt lalu namun kemudian 'ghaib'. Hanya selepas 18 hari barulah Riyadh mengaku Jamal sudah meninggal dunia, kononnya akibat pergaduhan yang berlaku dalam bangunan tersebut.

Bagaimanapun kesahihan kisah versi Riyadh itu tidak dipercayai ramai.

Keluarga Glazer membeli Manchester United pada 2005 boleh mendapat keuntungan sehingga £2.2 bilion (RM5.3 bilion) jika persetujuan dicapai dengan MBS.

Forbes menganggarkan nilai kelab itu ketika ini ialah £3.2 bilion.

Lihat Komen
ADS