Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Boikot sukan lumpuhkan Apartheid, mengapa tidak untuk Israel?

Pendirian kerajaan Malaysia dalam menolak kehadiran pasukan renang Zionis Israel di Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadualkan Julai ini di Sarawak bukanlah sesuatu di luar jangka.

Pendirian ini mempunyai kedudukannya yang tersendiri dalam sejarah dasar luar negara. Dalam konteks ini, Malaysia menggunakan halangan penyertaan sebagai tanda boikot.

Boikot melalui sukan bukanlah sesuatu yang asing kerana terdapat banyak peristiwa boikot dalam sejarah sukan antarabangsa.

Antaranya Sukan Olimpik di Moscow pada 1980 diboikot hasil gerakan Amerika Syarikat kerana pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan setahun sebelum itu.

Adakah pertembungan dasar luar negara kita dengan sukan merupakan campur aduk politik?

Ada yang menyatakan politik dan sukan perlu diasingkan. Pandangan ini tidak duduk dalam konteks yang tepat, tidak merujuk beberapa fakta sejarah dan dunia amnya telah menunjukkan duluan.

Pendirian Malaysia sejak dahulu; tidak sama sekali mengiktiraf kewujudan negara Zionis Israel.

Negara yang ditubuhkan oleh dengan penuh angkuh menghina pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka asas penolakan kewujudan Israel ini atas prinsip keadilan dan kemanusiaan; menolak penindasan dan penganiayaan Israel terhadap warga bukan Yahudi di wilayah yang ditaklukinya.

Bukan baru sukan telah dijadikan satu senjata untuk menentang kezaliman dan penindasan. Walaupun telah hampir tiga dekad berlalu, dunia masih mengesani era malang di Afrika Selatan ketika diperintah oleh rejim Apartheid.

Sepanjang tempoh separuh abad (1948-1994), dasar Apartheid – yang bermaksud ‘apartness’ dalam bahasa Afrikaan – secara sistematik mengasingkan golongan kulit putih dan warna kulit lain dalam seluruh aspek kenegaraan dan kehidupan.

Sukan juga tidak terlepas daripada pengasingan ini. Jenis sukan dan pemainnya diasingkan mengikut warna kulit. 

Warga kulit putih diberikan kemudahan dan peluang yang jauh ke hadapan berbanding warga berlainan warna kulit, lebih-lebih lagi warga kulit hitam.

Rugbi dan kriket sebagai contoh, didominasi warga kulit putih. Bola sepak, walaupun majoriti dimainkan oleh majoriti kulit hitam, kemudahan sukan yang diterima jauh berbeza berbanding kulit putih.

Dengan hanya warga kulit putih sahaja yang boleh menyertai South African Olympic Games Association (SAOGA), peluang warga selain kulit putih bertanding di peringkat Olimpik dan antarabangsa adalah tertutup.

SAOGA selaku ahli penuh International Olympic Committee (IOC) membolehkannya menentukan penyertaan di Sukan Olimpik dan juga sukan-sukan peringkat antarabangsa lain.

Mungkin Afrika Selatan lebih dikenali dunia dengan pasukan rugbinya yang dikenali jolokan Springbok.

Semasa era Apartheid, terdapat tiga organisasi yang mengendalikan sukan ini. South African Rugby Board (SARB) untuk kulit putih, menentukan pasukan kebangsaan yang dianggotai oleh pemain berkulit putih sahaja.

Polisi sukan rejim Apartheid juga tidak berurusan dengan negara-negara bukan kulit putih dan meletakkan syarat hanya pemain berkulit putih sahaja yang dibenarkan bermain dengan pasukan Springbok.

Hubungan sukan antarabangsa tidak memungkinkan rejim Apartheid meneruskan polisi diskriminasi ini tanpa tentangan. Pendedahan media antarabangsa di penghujung tahun 1950an telah menggerakkan usaha-usaha kesedaran dan kempen boikot.

Pada tahun 1956, Anti-Apartheid Movement (AAM) yang berpangkalan di London memulakan kempen boikot barangan Afrika Selatan dan akhirnya menjadi sebuah gerakan utama dalam menentang sistem Apartheid.

Usaha boikot sukan peringkat antarabangsa mula mendapat perhatian. Pendekatan pertama melalui menghalang penyertaan dalam acara sukan antarabangsa dengan Afrika Selatan.

IOC pada tahun 1964 menarik semula jemputan ke Sukan Olimpik daripada Afrika Selatan berikutan keengganan rejim Apartheid menghantar pasukan bercampur warna kulit.

Perlawanan tradisi yang bersifat berkunjung (toured) antara rugbi Springbok dan All Blacks, menghadapi tentangan masyarakat sivil di New Zealand pada 1981 apabila satu kempen boikot yang digerakkan oleh kumpulan Halt All Racist Tours.

Pendekatan kedua ialah melalui konvensyen tidak menggalakkan hubungan sukan dengan rejim Apartheid; yang membawa implikasi moral bagi mereka yang melanggarnya.

Antaranya International Convention against Apartheid in Sports yang diluluskan oleh PBB pada tahun 1985 dan Gleneagles Agreement pada tahun 1977 antara negara-negara ahli Komanwel.

IOC juga menerima Declaration against Apartheid in sport pada 1988 sebagai pengasingan penuh sukan Apartheid daripada dunia sukan.

Zionis Israel dan Apartheid berkongsi identiti penindasan yang sama. Dunia jangan hipokrit.

Boikot sukan telah menyumbang kepada lumpuhnya rejim Apartheid Afrika Selatan, mengapa tidak boikot sukan secara global juga mampu menjatuhkan rejim Zionis Israel?

Jika dunia belum bersedia, Malaysia harus menjadi pelopornya.


URWAH SAARI merupakan aktivis sosial, koordinator di Auspice Malaysia. Lulusan sarjana pembangunan antarabangsa dan mempunyai minat dalam sukan dan keamanan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS