Paling Popular
Terkini

ULASAN | Pada hemat saya, penceritaan sukan di Malaysia masih tidak lengkap. Atau, sekurang-kurangnya tidak diceritakan sepenuhnya.

Saya dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil alih teraju Kementerian Belia dan Sukan pada Julai 2018, iaitu di ambang persembahan mengecewakan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Kontinjen negara tidak berjaya mencapai sasaran untuk berada di kedudukan 10 terbaik seperti yang ditetapkan.

Jika kisah sukan kita sekadar berakhir di podium, memang senang untuk menyalahkan atlet atau jurulatih - malah pihak kerajaan sendiri - atas kegagalan acara sukan negara.

Namun sepanjang lapan purnama lalu, saya semakin banyak belajar tentang pengisahan sukan yang begitu menakjubkan, kepelbagaian watak di dalamnya, serta pencapaian mereka yang sungguh luar biasa.

Cuba kita fikirkan tentang Dr Yeo Wee Kian, saintis di Institut Sukan Negara (ISN) yang menjalankan banyak penyelidikan tentang sindrom metabolik dan penuaan sihat melalui mengkaji bagaimana untuk mempertingkat prestasi atlet di lapangan.

Beberapa potensi dari hasil kerja beliau termasuklah senaman dan strategi untuk menyembuhkan penentangan insulin, diabetes dan juga kanser.

Atau bertemu dengan Dr Rebecca Wong, pakar psikologi di ISN. Beliau menghasilkan suatu cara untuk menilai tahap tumpuan mental para atlet.

Smash paling berkesan

Melalui penilaian ringkas, Wong mampu memberi nasihat kepada atlet dan jurulatih tentang tumpuan optimum mereka menjelang sesuatu kejohanan.

Saya juga tertarik dengan cara beliau berinovasi dan menggabungkan terapi pasangan untuk membina hubungan dan komunikasi yang baik di antara beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang berjaya meraih pingat perak Sukan Olimpik 2016.

Penemuan daripada adaptasi begini akan dapat menambah baik terapi pasangan sedia ada.

Jurutera biomekanikal kita, R Yuvaraj, yang baru saja menyelesaikan kajian peringkat sarjana di Universiti Malaya berjaya mengenal pasti perkiraan saintifik dan faktor yang menghasilkan pukulan smash paling berkesan oleh seorang atlet badminton.

Usaha seperti yang dijalankan beliau dan pasukannya untuk memahami biomekanik - bagaimana tulang, otot, ligamen dan rawan bekerjasama - bagi mengoptimumkan pergerakan atlet boleh menyumbang kepada kajian memperbaiki pergerakan warga berusia dan juga mereka yang kurang upaya.

Para pakar pemakanan yang membantu atlet dalam program pelarasan berat badan menggunakan kaedah saintifik untuk menghasilkan penambahan atau pengurangan berat badan tanpa memberi kesan buruk kepada kesihatan terutamanya kondisi otot.

Fikirkan tentang potensi program sebegini dalam sebuah negara yang separuh populasinya mengalami obesiti ekoran lemahnya pemahaman tentang nutrisi.

Kalau anda bertanya kepada saya, saya tidak melihat kenapa agensi seperti ISN tidak boleh bekerjasama dengan rangkaian fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara untuk menyediakan program pengurusan berat badan secara percuma atau berkos rendah kepada orang awam.

Bukan sekadar pingat emas

Pasukan doktor dan pakar terapi termasuk Faezah Md Jais - ketua fisioterapi yang selalunya bekerja diam-diam di sebalik tabir untuk wira-wira negara - sentiasa meneroka kaedah-kaedah pemulihan terbaik untuk atlet yang mengalami kecederaan.

Hasil kerja mereka membantu kita untuk memahami proses kesembuhan dengan lebih baik dan sangat berguna untuk memajukan bidang sains perubatan.

Para teknologis di belakang para atlet mahu memperbaiki prestasi melalui penyelidikan dan pembangunan paling canggih yang akhirnya menghasilkan teknologi untuk kegunaan di luar bidang sukan.

Ia kira-kira sama seperti minyak enjin yang dicipta oleh Petronas ekoran penglibatan syarikat tersebut dalam perlumbaan F1.

Sudah menjadi adat bagi Kementerian Belia dan Sukan untuk menerima peruntukan paling sedikit, tidak kira dalam kerajaan baru atau lama.

Saya percaya salah satu sebabnya ialah kerana kita tidak bercerita sepenuhnya tentang sukan.

Jika sukan adalah sekadar pingat emas Olimpik, masyarakat tidak akan teruja untuk menambah perbelanjaan wang cukai mereka.

Kementerian Belia dan Sukan mahu bercerita tentang sukan secara berbeza mulai hari ini.

Ya, memang sentiasa ada nilai-nilai yang tidak dapat ditanggapi dalam sukan. Ia merupakan platform perpaduan terutamanya untuk sebuah masyarakat yang begitu majmuk seperti Malaysia.

Namun kita juga mahu menguar-uarkan nilai dan hasil yang boleh dilihat mata, hasil pelaburan kita dalam bidang sukan.

Jika kementerian boleh menunjukkan bahawa bagi setiap ringgit yang dibelanjakan untuk sukan, kita dapat mengurangkan perbelanjaan untuk hospital sebanyak x peratus, atau jika kita boleh buktikan bahawa seluruh usaha yang digarap untuk menghasilkan seorang atlet Olimpik boleh memberi manfaat kepada rakyat terbanyak - daripada penyelidikan mengenai diabetes dan kanser hingga memulihkan pergerakan dan dayatahan minda serta banyak lagi, jika kita boleh memberikan penceritaan lengkap tentang sukan, saya percaya bukan sahaja minat terhadap sektor itu boleh ditambah, malah mengalami evolusi cara fikir dan cara buat terhadap sukan pada masa akan datang.


STEVEN SIM ialah anggota parlimen Bukit Mertajam merangkap timbalan menteri belia dan sukan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS