Malaysiakini
SUKAN

Pengerusi Amanah Kelantan presiden baru Kafa

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Jul 2019, 8:09 pagi

Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abd Rahim Abdullah kini presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Beliau meraih 28 undi untuk menewaskan pencabarnya Amril Aiman Abd Aziz yang mendapat 16 undi dalam Kongres Luar Biasa (EGM) Kafa di Kota Bharu, hari ini.

Keputusan itu diperolehi selepas dua kali undian memandangkan tiada calon yang berjaya mendapat majoriti diperlukan dalam undian pertama.

Jawatan timbalan presiden kekal dipegang Afandi Hamzah yang menewaskan dua calon lain.

Tiga jawatan naib presiden pula diisi oleh Shaari Mat Hussain, Prof Dr Zaliman Sauli dan Md Rowi Dollah.

EGM itu diadakan susulan peletakan jawatan Bibi Ramjani Ilias Khan selepas hampir tiga tahun menggalas tugas sebagai presiden Kafa.

Sementara itu, Afandi dalam sidang media pengumuman keputusan menyuarakan harapan agar kepimpinan baru dapat memberi segala komitmen untuk menaikkan kembali skuad The Red Warriors serta pembangunan bola sepak negeri.

Beliau berkata antara keutaman persatuan kini adalah memastikan skuad bola sepak terus bersaing dan memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Perdana.

"Alhamdulillah dengan selesainya EGM dan pemilihan oleh 44 perwakilan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) pada hari ini kita mendapat presiden dan barisan kepimpinan baru untuk terus mengemudi Kafa pada sesi 2019 hingga 2023.

"Terima kasih perwakilan kerana masih memberi peluang dan tanggungjawab ini saya akan pikul sebaik mungkin. Saya pernah berada dalam sistem berjaya dan sebaliknya, namun saya tetap tawarkan diri untuk terus berada dalam saf kepemimpinan.

"Kita memang beri tumpuan untuk selamatkan Kelantan dan kemenangan Kelantan menentang Selangor United 2-0 semalam membuktikan kita masih ada peluang untuk bersaing dalam Liga Perdana," katanya.

Sementara itu bagi jawatan ahli jawatankuasa eksekutif Kafa, seramai 10 calon terpilih di kalangan 25 calon yang bertanding.

Mereka terdiri daripada Wan Rakemi Wan Zahari, Zakaria Mat, Ahmad Muzakir Hamid, Azman Ismail, Zahari Kechik, Muhammad Nuzulhad Muhamad Zain, Dr Hanafi Ismail, Zakri Mat Zain, Saamin Fahmi Hassan, dan Mohamad Ausri Husin.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.