Malaysiakini
SUKAN

Kelantan buka gelanggang pertarungan Muay Thai kepada petinju wanita

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Ogs 2019, 7:39 pagi

Arena sukan Muay Thai Kelantan mencipta sejarah apabila buat julung kalinya membenarkan petinju wanita bertarung dalam kejohanan anjuran negeri itu.

Presiden Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK), Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata langkah kerajaan negeri membuka pintu gelanggang sukan itu kepada petinju wanita, memberikan ruang kepada mereka untuk mengetengahkan bakat yang ada.

"Di luar negara, sukan Muay Thai menjadi satu profesion yang menjanjikan pulangan tinggi kepada petinju wanita, kami harap dengan adanya peluang ini, ia boleh menjadi platfom kepada atlet sukan itu di negeri ini untuk mengasah bakat.

"Ia juga memberi ruang kepada kami (PSBNK) menjadi sebahagian daripada penggerak dalam melahirkan petinju wanita yang berbakat dan membawa nama negara ke kejohanan yang lebih besar," katanya.

Sebelum ini, sukan Muay Thai di Kelantan hanya membabitkan petinju lelaki, bagaimanapun dengan keputusan terbaharu kerajaan negeri ini, PSBNK yakin dapat menonjolkan ramai atlet wanita yang handal dan beraksi dengan mematuhi syariah Islam.

PSBNK berterima kasih dan memuji keterbukaan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan dan kerajaan negeri itu yang disifatkan dapat membawa imej Islam dalam bidang sukan.

"Ia adalah perkembangan yang positif kepada sukan Muay Thai negeri Kelantan terutamanya kepada kaum wanita di negeri ini," katanya.

"Perkembangan itu dapat memberikan ruang kepada PBSNK untuk memberi pendedahan kepada atlet wanita untuk melakukan persiapan ke arah Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor tahun depan," katanya.


-- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.