Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MSN tempelak Terengganu - ‘tiada isu ghairah dalam sukan’
Diterbitkan:  Sep 4, 2019 5:08 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Majlis Sukan Negara hari ini menempelak keputusan Terengganu menarik diri daripada sebarang acara gimnastik dan gimrama wanita kerana didakwa mengeksploitasi dan mempamerkan aksi “ghairah” wanita.

Kata Ketua Pengarahnya, Ahmad Shapawi Ismail, isu “ghairah” tidak wujud dalam sukan, malah anggapan bahawa kemahiran dan teknik ditonjolkan dalam sukan gimnastik dan gimrama “boleh mendatangkan ghairah kepada kaum lelaki” tidak harus diterima.

“Sukan adalah pentas para atlet negara mempamerkan disiplin diri dan semangat kesukanan yang tinggi, demi cita-cita untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia.

“Maka, takrifan ‘ghairah’ itu tidak pernah wujud dalam arena gimnastik dan gimrama dan ia tidak harus dijadikan asas dalam dasar pembangunan sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi Ismail

Semalam, exco pembangunan belia, sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi dilaporkan berkata kerajaan negeri terpaksa menarik diri daripada beberapa jenis sukan seperti gimrama dan gimnastik wanita yang menurutnya bercanggah dengan syariat Islam dan menonjolkan aksi mengghairahkan.

Katanya juga, garis panduan pemakaian patuh syariah bagi atlet sedang dirangka dan kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pereka fesyen yang ingin menyumbang idea untuk pakaian sukan patuh syariah itu.

Mengulas mengenai hal itu, kata Shapawi, terpulang kepada individu dalam bab pemakaian beberapa jenis sukan selagi ia tidak menyalahi peraturan sukan antarabangsa dan selagi tidak menyebabkan risiko keselamatan kepada atlet.

“Sekiranya individu tersebut menganggap pemakaian pakaian tersebut menyalahi syariah, maka individu ini mempunyai pilihan untuk tidak terlibat dalam sukan tersebut walau setinggi mana pun minat dan bakat mereka dalam sukan tersebut; ataupun beliau boleh berkompromi dan memakai pakaian yang mengikuti syariah jika tiada halangan dari segi garis panduan,” katanya lagi.

Justeru, Shapawi berpandangan isu pemakaian tidak wajar dibangkitkan dan memandangnya sebagai “amat malang” sekiranya keputusan Terengganu itu turut terpakai kepada atlet bukan beragama Islam.

“...sukan tidak patut digunakan bagi menyekat kebebasan mereka yang ingin menceburi bidang berkenaan,” katanya lagi.

Justeru, Shapawi berpandangan isu pemakaian tidak wajar dibangkitkan dan memandangnya “amat malang” jika keputusan Terengganu itu turut terpakai kepada atlet bukan Islam.

Katanya “sukan tidak patut digunakan bagi menyekat kebebasan mereka yang ingin menceburi bidang berkenaan”.

Selain itu, Shapawi turut meluahkan rasa terkejut atas kenyataan Terengganu kerana negeri itu, katanya, tidak menjadikan kedua-dua sukan itu sebagai keutamaan dalam pembangunan sukan, baik di peringkat sekolah, Sukma dan kebangsaan.

Katanya, bagi sukan gimrama, Terengganu menghantar gimnas “import” untuk Sukma Perlis 2014, manakala bagi gimnastik pula, atlet wanita dihantar menyertai Sukma Perak 2018 lalu menampilkan enam gimnas - empat beragama Islam dan dua bukan beragama Islam.

Justeru, katanya, dia tidak pasti kenapa kenyataan itu dikeluarkan pada ketika ini.

“Kerisauan kerajaan Terengganu terhadap cara pemakaian atlet gimnastik wanita dan gimrama ini telah merisikokan masa hadapan atlet wanita yang berpotensi mengharumkan nama negara di pentas sukan,” ulasnya.

Memandang sukan sebagai wadah penyatuan rakyat, dia percaya kerajaan menyediakan lapangan adil dan saksama kepada sukan untuk semua pihak tanpa mengira agama, gender dan warna kulit.

“Sukan sentiasa menjadi wadah terbaik penyatuan rakyat Malaysia dan mengutamakan merit serta prestasi atlet melebihi faktor-faktor luaran yang lain,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS