Malaysiakini

Menteri jawab ejekan pada logo BSN yang disamakan hidung babi

Ramieza Wahid

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa fokusnya kini adalah untuk menekankan intipati program Bulan Sukan Negara (BSN).

Beliau berkata demikian ketika mengulas ejekan pengguna maya, termasuk pemimpin pembangkang, yang menyamakannya dengan hidung babi.

"Macam saya kata, saya nak fokus inti pati program (BSN) yang saya dah tekankan tadi,” katanya pada majlis penyerahan watikah ahli parlimen belia di bangunan Parlimen Kuala Lumpur hari ini.

Sejak dikongsi di akaun Facebook rasmi KBS semalam, logo BSN sudah mendapat 446 tanda suka namun majoriti warga maya mengecam reka bentuknya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman 

Ramai juga yang berkongsi gambar logo BSN yang diterbalikkan, sehingga huruf B diguna pakai kelihatan seperti hidung babi.

Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Md Yunos antara pemimpin pembangkang yang mengejek logo itu.

Dalam gambar dimuat naik, dua biji mata turut ditambah ke logo yang dipusing itu.

"Cuba teka? Bentuk binatang dan muncung apa untuk logo tema Bulan Sukan Negara (2019). Menteri KBS tak perasan kot atau timbalan menteri KBS tak rujuk kepada menteri," katanya.

Logo ubah suai yang dimuat naik ke Facebook

Sementara itu, Syed Saddiq menjelaskan baginya yang paling penting adalah makna di sebalik logo tersebut.

“Saya tengok ramai muat naik logo itu dan terbalikkan dia (logo), tetapi saya rasa paling penting sekali makna logo tersebut yang mewakili BSN.

Antara kritikan pengguna maya terhadap logo itu

“Perkara ini sangat penting kerana banyak acara kita akan gerakkan sekali dan itu fokus utama kita dan harap rakyat Malaysia keseluruhan dapat melakukan seberapa banyak aktiviti dalam bulan 10 ini,” katanya.

BSN bakal dilaksanakan pada bulan Oktober ini.

Menurut KBS, logo itu bukan hanya sekadar akronim, tetapi terdiri daripada bentuk organik mewakili suasana mesra dan santai dalam sukan.

Bentuk tepi bulat dan tajam mewakili kuasa, kestabilan dan profesionalisme, menurut keterangan di Facebook KBS.